KUALA TERENGGANU, 19 Jan (Bernama) -- Episod ombak besar yang melanda Terengganu sejak 11 Jan lepas berakhir dengan kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah pulang ke kediaman masing-masing hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan PPS terakhir, iaitu Balai Raya JPKK Bandar Paka yang dibuka pada 12 Jan, ditutup kira-kira 8 malam ini.
Menurut JPBNT, sebanyak 299 mangsa daripada 78 keluarga di daerah Kemaman dan Dungun terpaksa berlindung di tiga PPS, iaitu Dewan Serbaguna Kuala Kemaman, Balai Raya Kampung Geliga Pantai dan Balai Raya JPKK Bandar Paka susulan kejadian air pasang dan ombak besar yang melebihi ketinggian tiga meter.
Fenomena itu juga menyebabkan kediaman lima keluarga di daerah Kemaman dan 14 keluarga di daerah Dungun rosak teruk dan runtuh.
Di daerah Kuala Nerus pula, beberapa peniaga kerugian puluhan ribu ringgit apabila premis kedai rosak teruk dan runtuh ditelan ombak besar.
Masalah hakisan yang semakin kritikal terutama di kawasan Kampung Tanjung dan Mengabang Telipot juga menyebabkan jalan pantai terpaksa ditutup manakala peniaga pula terpaksa menghentikan perniagaan mereka atas faktor keselamatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial