Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin susulan prestasi yang lebih lemah di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun menghentikan kenaikan enam sesi pada Jumaat disebabkan kebimbangan mengenai permintaan bermusim dan yen yang lebih kukuh, walaupun pasaran dijangka mencatatkan kenaikan mingguan terbesarnya dalam lebih dua bulan berikutan harga minyak yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan dengan menggalakkan data ekonomi Amerika Syarikat (AS), langkah terkini bank pusat China untuk menyokong ekonomi sewaktu perkembangan positif yang mengelilingi perdagangan AS-China," katanya kepada Bernama.
Memetik laporan Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Jumaat, beliau berkata pengeluaran pembuatan AS melonjak pada Disember 2024 apabila pengeluaran di Boeing meningkat selepas berakhirnya mogok pekerja kilang yang melumpuhkan syarikat gergasi aeroangkasa itu.
Selain itu, kata laporan berkenaan, pengeluaran kilang naik sebanyak 0.6 peratus pada bulan lepas selepas pemulihan 0.4 peratus pada November 2024.
"Dilaporkan Presiden terpilih AS, Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping membincangkan isu dalam satu panggilan telefon pada Jumaat dengan kedua-duanya kelihatan optimis. Trump menyifatkannya sebagai 'satu perbincangan yang sangat baik' dan Xi berkata beliau serta Trump sama-sama berharap untuk permulaan yang positif dalam hubungan AS-China," katanya.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menyusut sebanyak 5.0 sen kepada 879.50 sen sekilogram manakala lateks pukal bertambah sebanyak 1.5 sen kepada 672.00 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial