AM

UTP Menang Anugerah Putra Brand Kali Keempat Berturut-turut

21/01/2025 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) sekali lagi telah diiktiraf atas kecemerlangan jenamanya apabila merangkul anugerah emas berprestij dalam kategori Pendidikan dan Pembelajaran pada Putra Brand Awards 2024.

Anugerah itu telah diterima oleh Pengarah Kanan Komunikasi Korporat UTP Shamsina Shaharun pada majlis Putra Brand Awards yang diadakan di sini pada Jumaat lepas.

UTP dalam satu kenyataan berkata ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut universiti itu pada Putra Brand Awards yang sangat dihormati, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai jenama peneraju dalam pendidikan tinggi Malaysia.

“Sebagai universiti tunggal di luar Lembah Klang yang mencapai kejayaan ini, kemenangan anugerah emas berkenaan membuktikan kedudukan jenama universiti yang kukuh dan mendapat pengiktirafan di seluruh negara. Putra Brand Awards yang ditentukan melalui lebih 50,000 undian, mengiktiraf jenama yang paling menarik perhatian rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib menekankan bahawa universiti itu berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij berkenaan untuk tahun keempat berturut-turut.

“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen UTP yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan akademik, inovasi dan penyelidikan yang membawa impak. Ia mencerminkan dedikasi dan kerja keras seluruh komuniti UTP dalam menyediakan pelajar kami dengan pengalaman pembelajaran yang luar biasa, menjalankan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada industri dan negara serta melahirkan graduan global berpengetahuan luas yang menjadi peneraju dalam bidang mereka.

“Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan pengiktirafan berterusan mereka terhadap sumbangan UTP kepada pendidikan tinggi dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa kekuatan jenama UTP adalah berikutan tumpuannya untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang luar biasa kepada pelajar, menjalankan penyelidikan dan perundingan terkini untuk industri dan negara, menawarkan program akademik yang berkaitan dengan industri dan mencapai kadar kebolehpasaran yang tinggi bagi graduannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan