KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Lima daripada 1,000 rakyat Malaysia terjejas akibat sakit sendi artritis reumatoid (RA) yang menyebabkan autoimun kronik dengan golongan wanita berisiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.
Pakar Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Cheah Chee Ken berkata penyakit yang boleh menyerang semua peringkat usia itu dipengaruhi oleh faktor epigenetik, hormon, reproduktif dan neuroendokrin selain faktor persekitaran atau gaya hidup seperti merokok, pendedahan kepada asap rokok, tabiat kebersihan mulut yang buruk, periodontitis kronik, jangkitan gusi dan banyak lagi.
“Individu dengan kecenderungan genetik atau mereka yang mengalami trauma fizikal, seperti kemalangan kereta, mungkin lebih terdedah kepada aktiviti imun yang tidak normal, menyebabkan keradangan di lapisan sendi yang dikenali sebagai sinovium. Keradangan ini boleh mencetuskan gejala seperti sakit sendi, bengkak dan kekakuan pada waktu pagi.
“RA boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tetapi ia paling kerap terjadi pada usia antara 30 hingga 50 tahun. Selain itu, perokok dan individu yang mengalami obesiti mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat RA dan cenderung untuk memberi respons yang kurang efektif terhadap rawatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SMC hari ini.
Beliau berkata buat masa ini, tiada penawar untuk mengubati penyakit RA dan pesakit memerlukan pengurusan sepanjang hayat merangkumi pengambilan ubat-ubatan, terapi fizikal selain kadangkala memerlukan pembedahan untuk menggantikan lutut dan pinggul.
Dr Cheah berkata sekiranya pesakit RA tidak diurus dengan baik, ia boleh menyebabkan komplikasi yang tidak boleh dipulihkan serta mempengaruhi sendi dan bahagian lain tubuh seperti paru-paru, jantung, mata, bahkan tulang belakang yang boleh menyebabkan masalah mobiliti.
Lebih membimbangkan, sifat RA yang sukar dijangka termasuk suar (flare-up) dengan tiba-tiba akan berpotensi menyebabkan pesakit mengalami kecacatan jangka panjang sehingga boleh memberi kesan kepada psikologi.
“Kesihatan mental pesakit dan keluarga mereka juga akan sering tercabar, contohnya mengalami kebimbangan atau kemurungan. Justeru, mereka memerlukan sokongan emosi dan pendidikan untuk lebih memahami serta menguruskan RA.
“Terdapat juga kumpulan sokongan, seperti Persatuan Artritis Malaysia (AFM) yang menawarkan jaringan sokongan penting, iaitu individu boleh berkongsi pengalaman, nasihat praktikal dan dorongan, lantas membantu mereka mengatasi beban fizikal dan emosi dalam menghadapi keadaan ini,” katanya.
Menurut Dr Cheah, diagnosis RA adalah mencabar kerana kekurangan ujian tertentu sehingga menjadikan proses lebih kompleks terutama mengenal pasti tanda dan gejala awal RA yang sering menyerupai penyakit lain sehingga menyebabkan kelewatan dan kesukaran dalam membuat diagnosis tepat.
Disebabkan kerumitan itu, pasukannya membangunkan gabungan pendekatan bermula dengan sejarah terperinci pesakit yang merangkumi permulaan gejala, perkembangan penyakit dan sebarang gejala berkaitan RA, diikuti dengan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda khas keadaan ini seperti kesakitan sendi, bengkak, kekakuan atau pergerakan terbatas.
Selain itu, pengimejan ultra bunyi muskuloskeletal juga akan dilakukan untuk mengenal pasti keradangan, kerosakan sendi, keadaan lapisan sinovial dan kehadiran efusi sendi, katanya.
Beliau berkata pada peringkat awal RA, pesakit biasanya akan diberikan ubat antiradang, sama ada ubat tahan sakit bukan steroid atau rawatan steroid.
“Bagi mengubah perkembangan RA, ubat-ubatan yang memodifikasi penyakit (DMARDs) adalah penting. Ia boleh dibahagikan kepada DMARDs sintetik konvensional atau DMARDs biologi.
“Pesakit yang didiagnosis awal sering memberi respons yang lebih baik kepada DMARDs sintetik konvensional manakala penyesuaian mungkin diperlukan bagi mereka yang tidak memberi respons dengan baik terhadap rawatan. Ia boleh merangkumi terapi lanjutan seperti DMARDs biologi dan molekul kecil oral,” katanya.
Beliau berkata terapi lanjutan terbabit menyasarkan molekul radang tertentu yang terlibat dalam aktiviti RA sekali gus menawarkan keberkesanan lebih baik dan kesan sampingan lebih rendah berbanding rawatan tradisional.
-- BERNAMA
Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial