AM

Keterangkuman, Kemampanan Teras Kebangkitan Malaysia Dan ASEAN - PM Anwar  

25/01/2025 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Keterangkuman dan kemampanan harus dijadikan teras dalam  kebangkitan Malaysia dan ASEAN, dengan memilih perkongsian kemakmuran secara adil tanpa sesiapa pun yang terkecuali, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Malaysia, blok ASEAN kekal teguh kepada prinsip kepusatan ASEAN yang bebas untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat, China, India, Eropah dan negara lain tanpa perlu memihak atau terikat dengan konflik luar.

"Alhamdulillah, misi delegasi Malaysia di empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium, dan Switzerland telah berakhir.

“Saya turut menggunakan misi ini untuk menjulang hubungan erat ASEAN sebagai kekuatan bagi rantau kita,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Anwar berkata beliau telah menanggapi satu perkara penting menerusi misi delegasi Malaysia ke empat negara tersebut yang antara lain telah memperkukuh hubungan dua hala, menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan. 

Katanya meskipun berdepan dengan pelbagai rencam politik, pimpinan dan rakyat negara terbabit memberi tumpuan penuh kepada ekonomi, budaya ilmu, kemahiran, keterampilan dan kecerdasan buatan.

“Sikap ini harus kita teladani, ketimbang sepanjang masa berbicara soal titik bengik yang memecah-belah dan merugikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan