AM

Tempoh Proses Permit Masuk Hanya Enam Bulan - Saifuddin Nasution

25/01/2025 04:19 PM

KULIM, 25 Jan (Bernama) -- Tempoh proses permohonan permit masuk kini telah dipertingkatkan dengan hanya mengambil masa maksimum enam bulan selepas dokumen lengkap dikemukakan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses baharu ini memberi keutamaan kepada pasangan warganegara yang berkahwin dengan warga asing.

"Permit masuk ini adalah dokumen yang membenarkan warga asing untuk masuk dan tinggal di Malaysia bagi tujuan seperti belajar atau bersama keluarga. Sebelum ini, terdapat kes permohonan yang tertangguh sehingga 15 tahun.

"Proses permohonan kini mengikut piagam pelanggan yang lebih realistik. Dalam tempoh enam bulan selepas permohonan lengkap dikemukakan, ia akan diluluskan jika melepasi proses semakan dokumen seperti biasa dan tapisan keselamatan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan dekat sini, hari ini.

Saifuddin Nasution turut berkata prosedur operasi standard (SOP) baharu telah diperkenalkan bagi memandu pemohon dengan lebih jelas, termasuk menyediakan senarai semak dokumen dan panduan permohonan.

"Ini adalah satu anjakan besar yang kita buat... Dengan tempoh masa ini, ia dapat membantu melegakan proses permohonan bagi rakyat yang berkahwin dengan pasangan warga asing, agar dapat tinggal di negara ini tanpa birokrasi yang rumit," katanya.

Katanya dari 2020 hingga 2024, sebanyak 23,674 permohonan diproses dengan 52 peratus daripadanya telah diluluskan, manakala 48 peratus ditolak.

Sementara itu mengenai isu berkaitan Bukit Malut di Langkawi, beliau berkata perkara tersebut kini di bawah perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jawatankuasa bersama MKN dan kerajaan negeri Kedah sedang berbincang mengenai penyelesaian terbaik," katanya.

Baru-baru ini Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta agar MKN bertindak pantas menguruskan proses penempatan semula penduduk Bukit Malut.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan negeri berharap projek yang dirancang itu dapat dilaksana segera bagi menghentikan polemik yang wujud, termasuk kegiatan pembinaan rumah haram di Bukit Malut yang berleluasa sehingga ke kawasan laut berdekatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan