KUALA PILAH, 27 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berharap laporan media Malaysia sepanjang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dapat sampai kepada semua organisasi media ASEAN.
Beliau berkata ini termasuk maklumat atau laporan berita daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi Kepengerusian ASEAN itu.
“Dari segi liputan berita, saya lihat Bernama menjalankan tugas dengan baik untuk menyelaras media sebagai penyelaras media rasmi manakala RTM penyiar rasmi, liputan sekarang ini berjalan baik, keutamaan kita berikan pada sidang kemuncak.
“Tapi untuk acara pertama pada 18,19 Jan lepas, Pemukiman Menteri Luar ASEAN, alhamdulillah berjalan dengan baik,” katanya selepas meninjau Kampung Tebat Kering di sini yang juga kampung angkatnya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata hubungan antara media di Malaysia dan rantau ASEAN juga perlu diperkukuh, bukan hanya antara agensi media kerajaan dalam kalangan negara ASEAN tetapi juga media lain di rantau itu.
“Itulah saya percaya kita perlu adakan satu himpunan media dari rantau ASEAN sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Mei nanti, insya-Allah, harapan saya hasil daripada himpunan media akan dapat eratkan lagi hubungan dan dapat baca lebih banyak berita dan laporan dari rantau Asia Tenggara,” katanya.
Pada 23 Jan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan dilaporkan berkata HAWANA tahun ini akan menjadi platform menghimpunkan organisasi media daripada seluruh ASEAN bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama, selain mengenal pasti cabaran terkini dalam industri tersebut.
Beliau berkata HAWANA akan menjemput pengamal media ASEAN untuk beberapa program sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Sementara itu, Fahmi berharap program kampung angkat itu diteruskan pada masa akan datang bagi membantu menyelesaikan beberapa masalah dihadapi kampung terlibat, terutama berkaitan aspek sosioekonomi dan pembangunan fizikal.
“Setiap kementerian diminta pilih satu kampung angkat, malah ketua jabatan atau agensi kerajaan juga diminta pilih kampung angkat masing-masing dan fokus kepada pembangunan prasarana dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Bukit Temusu Tebat Kering Raja Azhar Raja Aziz, 53, menyifatkan pemilihan kampung yang mempunyai lebih 1,200 penduduk itu sebagai kampung angkat Menteri Komunikasi sebagai ‘hadiah’ kepada penduduk.
“Dengan pemilihan ini juga, kami berharap dapat memberi banyak manfaat kepada komuniti dan penduduk setempat, terutama dari segi penambahbaikan kemudahan infrastruktur di kampung ini,” katanya.
Pada Oktober lepas, Fahmi dilaporkan memilih kampung Tebat Kering sebagai kampung angkatnya di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau dikenali sebagai Santuni MADANI, sekali gus memastikan pelbagai aspek berkaitan keperluan komuniti di kampung itu terbela.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial