Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan trend kenaikan selama tiga hari berturut-turut sejak Jumaat hingga Selasa, disokong oleh pengeluaran minyak sawit di kilang-kilang Semenanjung Selatan yang lebih lemah dalam tempoh 1-25 Jan 2025, kata seorang penganalisis.
Memetik data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA), Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pengeluaran minyak sawit menurun sebanyak 3.13 peratus dalam tempoh 1-25 Jan, 2025, berbanding -0.98 peratus untuk tempoh 1-20 Jan 2025 dan -10 peratus untuk tempoh Jan 1-15.
“Prestasi eksport minyak sawit Malaysia secara konsisten lemah dan bagi tempoh 1-25 Jan, 2025, eksport minyak sawit Malaysia yang dianggarkan oleh Intertek Testing Services (ITS) pada 934,598 tan, turun sebanyak 18.89 peratus dan oleh AmSpec sebanyak 868,960 tan, turun 24 peratus daripada anggaran eksport masing-masing untuk tempoh 1-25 Dis, 2024.
“Jumlah dagangan niaga hadapan MSM lebih perlahan hari ini bersempena cuti di China dan permintaan eksport yang kurang memberangsangkan pada masa ini,” katanya kepada Bernama.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) baru-baru ini mengunjurkan harga MSM kekal tinggi antara RM4,500 dan RM5,000 setan untuk tiga bulan pertama 2025.
Ia berkata kenaikan itu akan didorong oleh pengeluaran yang lemah mengikut musim, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia, dan aktiviti penyimpanan semula yang lebih tinggi menjelang Ramadan.
Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2025 meningkat RM26 kepada RM4,535 setan, Mac 2025 naik RM42 kepada RM4,392 setan, dan April 2025 menokok RM61 kepada RM4,279 setan.
Kontrak Mei 2025 bertambah RM73 kepada RM4,190 setan, Jun 2025 melonjak RM81 kepada RM4,135 setan dan Julai 2025 naik RM84 kepada RM4,099 setan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 59,656 lot daripada 51,195 lot semalam, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 219,153 kontrak daripada 219,343 kontrak
Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat RM50 kepada RM4,650 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial