AM

"Pakcu Hassan" Berusia Seabad Bersyukur Dapat Rai Tahun Baharu Cina Bersama Cicit

30/01/2025 04:06 PM

MACHANG, 30 Jan (Bernama) -- Meskipun usianya sudah melebihi seabad namun semangatnya tetap utuh. Tan Ban Sing, 101, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Hassan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini dengan penuh kesyukuran kerana dikelilingi anak-anak, cucu, dan cicit.

“Saban tahun, rumah ini kembali hidup. Anak-anak dan cucu-cucu berkumpul, berkongsi cerita, bergelak ketawa. Itu sudah cukup membahagiakan saya,” katanya yang mempunyai lima anak, 30 cucu dan 10 cicit.

Namun, kemeriahan ini turut disulami kerinduan. Tahun ini kali kedua dia menyambut perayaan tanpa isteri tersayang Kua Yok Ting yang menghembuskan nafas terakhir pada 2023 di usia 96 tahun.

“Dulu, kami bersama-sama menyambut tetamu. Sekarang, rumah terasa lebih sunyi … tapi saya bersyukur kerana cucu tinggal bersebelahan, sentiasa membantu jika saya perlukan sesuatu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Walaupun penglihatan dan pendengarannya semakin lemah, langkahnya masih bertenaga dengan menggunakan tongkat dia masih mampu berjalan di sekitar halaman.

Pakcu Hassan bukan sekadar warga emas, tetapi juga saksi kepada keharmonian di kampung yang telah wujud sejak dulu.

“Di sini, semua orang bercakap loghat Kelantan, tak kira bangsa. Kami sudah biasa hidup bercampur gaul,” katanya.

Setiap tahun baharu, bukan hanya ahli keluarga yang datang berkunjung malah jiran-jiran Melayu juga turut memeriahkan suasana. Baginya, inilah keindahan hidup di kampung yang tiada jurang, tiada batas.

Ditanya mengenai rahsia panjang umur, dia hanya ketawa kecil.

“Tak ada rahsia besar. Saya minum air kosong, makan ulam dan budu, dan berjalan kaki setiap hari. Dulu saya ada kebun di tepi Sungai Kelantan, kira-kira 300 meter dari rumah. Sekarang kurang bekerja, tapi saya tetap bergerak,” katanya.

Baginya, kesihatan bukan sekadar soal makanan atau senaman, tetapi juga ketenangan jiwa.

“Hidup ini jangan dibebani dengan marah atau resah. Kalau ada masalah, bertenang. Itu kunci utama untuk hidup lama,” katanya yang loghat Kelantannya masih pekat, seakan menyimpan seribu kisah yang ingin dikongsikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan