AM

Kementerian Digital, KESUMA Kaji Impak Teknologi Ke Atas Pekerjaan

31/01/2025 04:54 PM

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Kementerian Digital sedang bekerjasama erat dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk mengkaji impak teknologi terhadap pekerjaan dan mengenal pasti pekerjaan masa depan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) akan memainkan peranan dalam kajian tersebut dan mengemukakan cadangan bagi memastikan rakyat Malaysia kekal dalam tenaga kerja.

"Saya faham ada pihak yang bimbang tentang penggunaan teknologi dan bagaimana ia bakal memberikan kesan kepada pekerjaan. Saya ingin menegaskan bahawa aspek pekerjaan sangat penting kepada Kerajaan MADANI.

"Kami mahu memastikan bahawa sambil kita menggunakan teknologi untuk meningkatkan perniagaan dan ekonomi, kita perlu memastikan bahawa rakyat mempunyai pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gobind berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lepas telah mengarahkan kementeriannya untuk meneliti pekerjaan yang akan terkesan oleh AI.

"NAIO akan, antaranya, meneliti perkara ini dan memberikan cadangan. Saya mahu memberi jaminan kepada semua bahawa walaupun kerajaan menitikberatkan teknologi, kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada landskap pekerjaan yang berubah bagi memastikan rakyat kekal dalam tenaga kerja.

"Jika ada beberapa sektor yang terkesan oleh teknologi digital nanti, kita sudah ada suatu penyelesaian untuk para pekerja dalam sektor tersebut," katanya.

Beliau berkata berdasarkan Kajian Impak Kecerdasan Buatan, Digital dan Ekonomi Hijau Ke Atas Tenaga Kerja Malaysia oleh Talent Corp yang dikeluarkan kepada umum pada November 2024, kajian itu menunjukkan jenis-jenis teknologi yang akan berkembang pesat dalam masa lima tahun akan datang dan bagaimana teknologi itu bakal memberikan kesan kepada pekerjaan dan sektor terlibat.

"Kita perlu mengetahui sektor mana yang akan terkesan dan apa yang perlu diperkukuh. Bagi pekerja, siapa yang akan terjejas, kita harus membuat persediaan yang perlu bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran bersesuaian. Kita akan bantu meningkatkan kemahiran dan memberi pemahiran semula kepada mereka supaya mereka boleh terus berada dalam tenaga kerja.

"Dengan kemahiran baharu mereka, mereka juga boleh meneroka sektor lain. Teknologi juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan baharu," kata Gobind.

NAIO, yang dilancarkan 12 Dis tahun lepas, berfungsi sebagai pihak berkuasa pusat yang bertanggungjawab dalam memajukan agenda AI Malaysia. Ia turut bermatlamat meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi dan aplikasi AI.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan