AM

Nanta Minta JKR Pantau Pergerakan Tanah Di Temalat

01/02/2025 03:18 PM

KAPIT, 1 Feb (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk memantau secara berterusan pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Jalan Song-Temalat-Kanowit, Song, yang berlaku semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata perkara itu bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini, yang boleh membahayakan nyawa orang awam.

“Kerja-kerja pembaikan juga perlu dilaksanakan segera disebabkan laluan ini merupakan antara laluan utama pengguna jalan raya di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nanta berkata laluan lencongan sementara telah disediakan untuk kegunaan kenderaan kecil dan ringan. 

“Dan saya juga telah meminta papan tanda dan arahan lalu lintas di kawasan lencongan diletakkan dengan jelas, demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Kejadian tanah runtuh yang memutuskan jalan perhubungan antara Bahagian Sibu dan Bahagian Kapit itu, berlaku selepas hujan turun tidak berhenti di kawasan tersebut sejak beberapa hari yang lepas.

Sementara itu, tular di media sosial kejadian sebuah lori barang tersangkut di lencongan tersebut sehingga menghalang laluan kenderaan lain.

Perkara itu mengundang kemarahan netizen terutama penduduk Kapit dan Song kerana sebelum ini kenderaan berat telah dilarang menggunakan lencongan tersebut, berikutan keadaan tanah yang masih belum stabil.

Tindakan tersebut menurut mereka bukan sahaja membahayakan nyawa bahkan menyusahkan pengguna jalan raya yang berulang alik ke Sibu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan