KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak terus berkurangan setakat 8 malam ini.
Di SABAH, jumlah mangsa menurun kepada 155 orang daripada 41 keluarga, berbanding 675 orang daripada 181 keluarga pada 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan daerah Lahad Datu telah pulih sepenuhnya pada pukul 5 petang tadi, bagaimanapun, daerah Kinabatangan mula dilanda banjir.
“Tongod kekal mencatatkan 155 mangsa (41 keluarga) di dua PPS, manakala satu PPS telah dibuka di Kinabatangan,” menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, jumlah mangsa berkurangan kepada 10,104 orang yang berlindung di 44 PPS, berbanding 10,973 orang pada petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata sebanyak lima lagi PPS telah ditutup, menjadikan keseluruhan 19 PPS yang ditutup hari ini berikutan keadaan banjir yang semakin pulih.
“Jumlah mangsa di Bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh) dan di Bahagian Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) kekal masing-masing pada 5,075 orang dan 1,847 orang.
“Di Bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan, dan Gedong), jumlah mangsa menurun lebih separuh daripada angka petang tadi apabila hanya tinggal 651 orang berada di lima PPS berbanding 1,487 orang sebelum ini.
“Bagi Bahagian Sibu (daerah Sibu, Selangau dan Kanowit) pula, jumlah mangsa menurun kepada 1,162 orang berbanding 1,187 orang petang tadi.
Di Bahagian Mukah (daerah Mukah dan Matu), jumlah mangsa tinggal 81 orang dan di Bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru) kekal 1,288 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial