AM

Agong Perkenan Tujuh Akta Diluluskan Pada Sidang Parlimen Lepas

04/02/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan tujuh akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang berlangsung pada 14 Okt hingga 12 Dis lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam pemasyhurannya memaklumkan perkara itu sebelum memulakan Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata akta-akta berkenaan ialah Akta Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025), Akta Kewangan 2024, Akta Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024,” katanya.

Sementara itu, Johari turut mengingatkan ahli-ahli Dewan untuk menunjukkan teladan yang terbaik serta mempamerkan kematangan berpolitik sepanjang persidangan.

Beliau turut memberikan peringatan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya berharap Ahli-Ahli Parlimen menunjukan teladan terbaik kepada rakyat dan kematangan berpolitik termasuk menjaga kesopanan dan tatasusila seperti yang diikrarkan dalam bacaan Rukun Negara.

“Di samping itu, titah Yang di-Pertuan Agong semalam memberi peringatan mengenai peranan Ahli Yang Berhormat,” katanya.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat dimulakan dengan bacaan Rukun Negara dengan mukadimah penuh selaras dengan keputusan kerajaan pada 25 Julai 2023 untuk melaksanakan bacaan penuh ikrar tersebut pada majlis rasmi.

Selain itu, Johari berkata beliau juga telah menerima perutusan daripada Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berhubung 26 rang undang-undang (RUU) untuk pindaan akta diluluskan tanpa pindaan dalam persidangan Dewan Negara yang lepas.

Antara RUU tersebut ialah RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024, RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024 dan RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024 serta RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Perkongsian Data 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan