KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kenaikan kadar tarif elektrik berkuat kuasa pada Julai depan hanya melibatkan sektor perindustrian, dengan 85 peratus daripada rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kenaikan kadar tarif elektrik itu, hanya melibatkan sektor industri dan golongan maha kaya mengikut kaedah Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
Perdana Menteri berkata kenaikan tarif elektrik kurang daripada 14 peratus itu adalah munasabah, sebagai usaha kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan seperti sekolah dan hospital serta program-program berkepentingan rakyat yang lain.
“(Langkah) Kenaikan tarif elektrik kepada industri dan golongan maha kaya ini kita pertahankan kerana kalau kita tidak cukaikan golongan ini bagaimana kita nak tambah peruntukan untuk sekolah dan hospital. Kita kena terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan maha kaya ini.
“Saya sebut depan peniaga-peniaga semalam, kita tidak akan tolak ansur, kita terpaksa naikkan, tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat…dengar betul-betul, bukan dengar dengan sentimen marah,” kata Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang).
Anwar turut membidas Wan Ahmad dengan menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen pembangkang itu sebagai kenyataan yang tidak berlandaskan data dan fakta.
“Mengikut data dan fakta, ekonomi ini bukan wayang, ekonomi ini berdasarkan fakta. Faktanya pelaburan kita ini jauh meningkat berbanding masa PM (Perdana Menteri) terdahulu.
“Faktanya, kadar pertumbuhan kita menyakinkan, faktanya nilai ringgit masih mengukuh walaupun keadaan geopolitik tidak menentu dan tarif yang dikenakan kepada negara lain. Itu faktanya… yang auta itu lain, kita harus bezakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial