JOHOR BAHRU, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 107 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu di Johor siap dibina sepenuhnya.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Johor Nurzie Ibrahim berkata daripada angka itu, 91 menara telah beroperasi manakala selebihnya dijangka beroperasi secara berperingkat selewat-lewatnya suku ketiga tahun ini.
“Ini adalah bukti komitmen kita dalam memastikan teknologi telekomunikasi terus berkembang pesat. Dengan adanya infrastruktur canggih dan perkhidmatan berkualiti, secara tidak langsung ia mengurangkan jurang digital antara masyarakat dalam negara.
“Telekomunikasi adalah nadi kepada kemajuan ekonomi dan sosial, kita dapat menghubungkan masyarakat, mempercepat penyebaran maklumat dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,“ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemuktamadan Penyerahan 107 Menara JENDELA Fasa Satu Negeri Johor di sini hari ini.
Beliau berkata MCMC negeri kekal komited dengan tanggungjawab memastikan sektor itu terus berkembang bagi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Daerah Mersing dan Kota Tinggi mencatatkan jumlah menara telekomunikasi JENDELA fasa satu tertinggi iaitu masing-masing 22 menara diikuti Pontian (12), Kluang (11), Segamat (10), Batu Pahat (sembilan), Muar (lapan), Tangkak (tujuh), Johor Bahru (empat) dan Kulai (dua).
Pada 14 Dis tahun lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilapor berkata sebanyak 1,385 daripada keseluruhan 1,661 menara telekomunikasi JENDELA fasa satu telah siap.
Fahmi dipetik berkata hanya 808 daripada keseluruhan menara itu telah beroperasi dalam tempoh dua tahun lebih sejak projek JENDELA dilaksana.
JENDELA bermatlamat merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar dengan menyambungkan laluan gentian optik di sembilan juta premis dengan sasaran 100 peratus liputan Internet terbaik di kawasan berpenduduk dengan kelajuan melebihi 100 Mbps.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial