EKONOMI

Cadangan Caruman KWSP Dua Peratus Bagi Pekerja Asing Langkah Wajar - ACCCIM

04/02/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berpandangan cadangan kerajaan untuk menetapkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWS) pekerja pada dua peratus bagi pekerja asing adalah wajar. 

ACCCIM dalam satu kenyataan berkata kadar itu yang dikurangkan daripada cadangan asal 12 peratus mengambil kira peningkatan beban kos operasi yang tinggi dan persekitaran perniagaan mencabar yang disebabkan oleh kesan negatif daripada langkah-langkah tarif oleh ekonomi utama.

“Walaupun kami berasa lega Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa kadar caruman majikan tidak akan dinaikkan dalam tempoh jangka pendek, ACCCIM berharap cadangan pindaan Akta KWSP 1991 akan mewujudkan mekanisme yang telus dan mantap untuk menyemak semula kadar caruman KWSP," kata persatuan itu.

ACCCIM berkata proses semakan semula tersebut perlu melibatkan penilaian berkala keadaan ekonomi dan perniagaan dengan berunding bersama pemegang taruh berkaitan.

Kerajaan semalam mengumumkan rancangannya untuk memperkenalkan kadar caruman mandatori dua peratus untuk pekerja asing dan akan dibincangkan di mesyuarat Kabinet minggu ini dengan Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan butiran lanjut.

Sebagai pengantara utama antara komuniti perniagaan dan kerajaan, ACCCIM berkata ia komited untuk menyediakan maklum balas yang membina dan bekerjasama bagi memperhalusi dasar yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan serta membantu perniagaan mengharungi cabaran yang berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan