AM

Lima Penumpuan Utama Jayakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam - KPPA

05/02/2025 12:58 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Lima penumpuan utama digariskan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi merealisasikan pembaharuan ke arah kualiti perkhidmatan awam yang lebih telus, berintegriti dan diyakini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata penumpuan itu adalah membangunkan modal insan berkualiti, menghayati nilai-nilai murni dan membangunkan organisasi dinamik.

Beliau berkata penumpuan yang turut diberikan dalam menggerakkan agenda reformasi itu adalah memperkukuhkan sinergi awam dan swasta serta merakyatkan penyampaian perkhidmatan.

“Diharapkan 2025 menjadi titik tolak yang lebih bermakna kepada perkhidmatan awam untuk terus memperkasakan sistem penyampaian demi memenuhi harapan rakyat dan negara.

“Anggaplah setiap tugasan yang diberikan sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendatangkan keberkatan tetapi juga mencipta keseronokan bekerja,” katanya ketika berucap menyampaikan Amanat 2025 KPPA di sini hari ini.

Mengulas tumpuan membangunkan modal insan berkualiti, beliau berkata penumpuan diberikan kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan baharu pegawai awam terutamanya dalam tujuh bidang tujahan baharu negara.

“Jadi, sebanyak 15 program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dengan 3,843 slot disediakan pada tahun ini.

“Bagi tujuan tujuh bidang tujahan baharu, sebanyak 140 slot program Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan (PRESTIJ) bernilai RM56 juta untuk pegawai-pegawai yang layak daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada 28 kementerian bagi melaksanakan kursus dan latihan jangka pendek untuk meningkatkan kompetensi fungsian pegawai merentasi semua gred dan skim perkhidmatan.

“Jadi kepada semua ketua jabatan, manfaatkanlah peluang-peluang yang saya sebutkan tadi untuk membangunkan modal insan di bawah seliaan masing-masing,” katanya.

Bagi tumpuan penghayatan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam, beliau berkata beberapa ikhtiar seperti usaha menyemarakkan nilai melalui nyanyian Lagu Negaraku dan Ikrar Rukun Negara akan diteruskan.

“Saya ingin menganjurkan di sini supaya modul pengurusan kewangan peribadi dijadikan sebagai satu daripada modul dalam Program Transformasi Minda (PTM),” katanya.

Bagi penumpuan ketiga iaitu pembangunan organisasi yang dinamik, Wan Ahmad Dahlan berkata ia bermatlamat untuk mengurangkan kerenah birokrasi dalam pelaksanaan tugas.

“Justeru, saya syorkan supaya beberapa langkah berikut dilaksanakan iaitu pelantikan Ketua Pegawai Reformasi (CRO)  di agensi-agensi awam yang akan bertanggungjawab melaporkan status reformasi agensi.

“Bagi tumpuan memperkukuh sinergi awam dan swasta. Dalam konteks JPA, banyak yang boleh kita terokai untuk mengukuhkan lagi sinergi awam-swasta ini. 

“Selain daripada kerjasama dalam penyediaan infrastruktur dan fasiliti awam, kita juga boleh mengintai potensi kolaborasi dalam aspek latihan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Bagi tumpuan terakhir, Wan Ahmad Dahlan berkata usaha merakyatkan penyampaian perkhidmatan awam dilaksana antaranya melalui pembangunan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (IPPA) dan penyebarluasan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).

“Sekiranya semua lima penumpuan ini berjaya kita jayakan dengan dipacu oleh inisiatif serta langkah-langkahnya, perkhidmatan awam Malaysia akan kembali gah seperti suatu masa dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menekankan usaha pemerkasaan inovasi digital, pemantapan integriti, peningkatan kecekapan operasi dan pengoptimuman sumber manusia bagi perkhidmatan awam tahun ini.

“Justeru, melangkah ke tahun 2025, kita akan terus memacu perubahan dengan hala tuju yang lebih jelas,” katanya.

Pada hari ini, beliau turut melancarkan Gerbang Maklumat Persaraan dan Penajaan iaitu sebuah platform digital komprehensif yang bertujuan memudahkan akses maklumat serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pegawai awam, pesara kerajaan dan pelajar tajaan JPA.

JPA turut memperkenalkan Garis Panduan Pandu Citra dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan