KOTA BHARU, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 90 peratus aktiviti dan jenayah rentas sempadan yang menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok berjaya dikawal sejak operasi penguatkuasaan diperketatkan sejak 1 Dis, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan besar dalam usaha mengekang kegiatan haram selain menyekat rakyat negeri ini daripada berhibur di Golok, Thailand yang boleh mendedahkan mereka kepada penyalahgunaan dadah.
“Kita bimbang jika mereka berhibur di sana, ada risiko pengambilan dadah yang akhirnya membawa kepada ketagihan. Melalui sekatan ini, saya lihat permintaan terhadap penginapan hotel serta pusat hiburan di Golok turun mendadak.
"Kawalan ketat akan terus dilaksanakan dengan pemantauan sepanjang 106 kilometer di Sungai Golok dari Tumpat hingga Rantau Panjang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata penutupan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand walaupun menimbulkan polemik kepada masyarakat, perlu dilaksanakan bagi memperkukuh keselamatan negara selain membawa kesan positif seperti peningkatan hasil cukai dan kawalan terhadap penyeludupan dadah.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihaknya akan terus memperhebat usaha membanteras jenayah dengan tumpuan kepada lima aspek utama termasuk menangani masalah dadah yang menjadi punca utama jenayah di negeri tersebut.
Mohd Yusoff berkata sepanjang 100 hari menerajui kontinjen Kelantan sejak 29 Okt, beliau telah menekankan kepentingan memerangi jenayah itu secara menyeluruh sejajar dengan moto “Jihad Dadah” yang diperkenalkan.
“Fokus utama kita adalah membanteras penyeludupan dadah selain mencegah jenayah rentas sempadan, membanteras jenayah komersial khususnya pinjaman wang tanpa lesen, mencegah pemerdagangan manusia dan membanteras aktiviti perjudian serta maksiat,” katanya.
Berhubung statistik jenayah indeks bagi bulan pertama 2025, Mohd Yusoff berkata secara keseluruhannya jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 12.08 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jenayah harta benda mencatatkan penurunan sebanyak 19.7 peratus iaitu 118 kes tahun ini berbanding 147 kes pada 2024, namun jenayah kekerasan meningkat sebanyak 18.8 peratus dengan kes rogol, samun bersenjata api dan kecederaan turut merekodkan peningkatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial