IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Pusat Peranginan Bukit Larut di Taiping akan dibuka semula mulai 1 April, selepas ditutup sejak November 2019 susulan kejadian tanah runtuh.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata pembukaan semula itu dibuat selepas kerja-kerja membaiki dan menambah baik empat banglo di atas Bukit Larut melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) siap tahun lepas.
Beliau berkata kerja-kerja baik pulih jalan cerun yang runtuh dimulakan sepanjang tempoh penutupan secara berperingkat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pembukaan semula Bukit Larut sejajar dengan persediaan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, dan MPT tidak mahu ketinggalan dalam usaha menaikkan sektor pelancongan di Malaysia khususnya di bandar Taiping.
“Kita sedang berusaha untuk membuka semula pusat peranginan ini dengan beberapa pembaharuan operasi yang telah ditetapkan oleh MPT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Amir berkata kemudahan yang akan beroperasi semula termasuk tiga banglo di Bukit Larut iaitu Beringin, Angkasa dan Tempinis untuk pengunjung bermalam pada kadar antara RM500 hingga RM1,000.
“Kadar sewaan bilik di banglo ini pula antara RM150 hingga RM500 semalam dan pengunjung boleh memilih untuk menyewa keseluruhan banglo atau menyewa bilik.
“Kita juga akan membuka semula operasi sewaan kenderaan untuk naik ke Bukit Larut seperti sebelum ini namun hanya bagi mereka yang menyewa penginapan banglo,” katanya.
Beliau berkata sewaan tapak perkhemahan bagi mereka yang sukakan aktiviti pendakian akan beroperasi pada 17 Feb, dengan pengunjung diwajibkan mengisi borang indemniti selain perlu mengimbas kod QR yang disediakan ketika masuk dan keluar dari kawasan Pusat Peranginan Bukit Larut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial