JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Cetak Wang Palsu Tumpas, Perdaya Peniaga Sekitar Perak

05/02/2025 06:04 PM

IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket penggunaan wang palsu di beberapa lokasi sekitar Perak susulan penangkapan lima warga tempatan di Pusing, dekat sini, Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata pihaknya menerima tiga laporan pada 29 Jan lepas daripada pemilik premis perniagaan pakaian dan stesen minyak di daerah Kerian berkenaan penggunaan wang palsu di premis mereka.

Beliau berkata bertindak atas maklumat itu, anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak telah menjalankan operasi menjejak pergerakan ahli sindiket terbabit.

“Pada Isnin kira-kira pukul 1.30 pagi, satu serbuan telah dilakukan di sebuah inap desa di Pusing, Batu Gajah. Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dibuat telah berjaya menahan dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia lingkungan 26 tahun hingga 36 tahun.

“Dalam serbuan itu, pihak polis menjumpai dan merampas tiga keping wang RM100, sekeping wang RM20, enam telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, satu rim kertas A4, sebilah gunting, beberapa helai pakaian dan sebuah kenderaan bernombor plat palsu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkafli berkata kesemua suspek yang ditangkap berperanan mencetak wang palsu yang digunakan bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian.

Katanya sindiket itu turut menggunakan wang palsu bagi tujuan pembelian telefon bimbit yang dijual melalui platform media sosial secara bersemuka dengan penjual, selain menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kesemua kes ini berlaku di sekitar Ipoh, Batu Gajah, Manjung, Kuala Kangsar dan Kerian selain telah dilaporkan pada tahun 2024 dan 2025.

“Sehingga kini, pihak polis telah berjaya menjumpai dan merampas kembali sejumlah 83 keping wang tunai RM100 palsu dan tiga keping RM20 palsu yang digunakan oleh sindiket sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kesemua suspek juga turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, narkotik dan komersial, malah salah seorang suspek wanita juga sedang menghadapi perbicaraan berkaitan wang palsu di sebuah mahkamah di Selangor.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 489B, 489C dan 489D Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan