AM

IIFS Angkat UIAM Peneraju Global Kajian Masa Depan - PM Anwar

05/02/2025 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Penubuhan Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa (IIFS) berpotensi menjadi pemangkin kepada idea berani dan inovatif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata institut seumpama itu mampu mengangkat kedudukan Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai peneraju global dalam pengajian masa depan dan seterusnya.

“Penubuhan institut sebegini dalam universiti Malaysia dan Islam adalah tepat pada masanya.

“Kajian masa depan bukan trend sementara. Ia adalah disiplin yang ketat dan kepentingannya semakin meningkat tahun demi tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berjudul A Malik Bennabi Reader dan IIFS oleh UIAM di sini hari ini.

Anwar berkata pandangan daripada kajian masa depan telah mempengaruhi rangka kerja dasar seperti SCRIPT (Sustainability, Care & Compassion, Respect, Innovation, Prosperity and Trust) dan Malaysia MADANI.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap IIFS dapat memperkukuhkan asas, melahirkan pemikir dan pembuat dasar yang bersedia untuk menghadapai cabaran pada masa akan datang.

IIFS berperanan dalam meneroka perspektif masa depan dunia Islam melalui kajian strategik dan pelbagai disiplin ilmu serta bakal menjadi pusat rujukan utama dalam bidang pemikiran Islam, falsafah dan pembangunan global.

Mengenai A Malik Bennabi Reader, Anwar berkata buku itu menghimpunkan gagasan dan pemikiran seorang pemikir Muslim abad ke-20, Malik Bennabi, yang menekankan kepentingan reformasi intelektual dan spiritual bagi kebangkitan tamadun Islam.

“Usaha intelektual seperti A Malik Bennabi Reader dan penubuhan IIFS adalah langkah penting ke arah menghidupkan semula semangat Convivencia, era gemilang pengetahuan dan perubahan yang satu ketika dahulu mencorakkan Al-Andalus.

“Besar harapan saya agar Malaysia juga dapat menghayati semangat ini, menjadi wadah kepada pertemuan idea, budaya dan kebijaksanaan,” katanya.

Buku itu menekankan pendekatan Bennabi terhadap ijtihad dan pemikiran kritikal berpandukan al-Quran dan Sunnah, dalam menangani cabaran moden selain menggariskan kepentingan keseimbangan antara nilai-nilai Islam dengan realiti politik dan ekonomi, sekali gus memberikan penyelesaian jangka panjang kepada isu dihadapi dunia Islam.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berkata amaran Bennabi tentang jurang antara prinsip moral dan kemanusiaan perlu dijadikan iktibar dalam konteks menghadapi dunia hari ini, yang menyaksikan teknologi dan sains berkembang pesat namun sering disalah guna sebagai alat penindasan.

"Seperti yang kita saksikan di Palestin dan banyak tempat lain, kuasa sering berselindung di sebalik retorik keamanan dan kemajuan sedangkan hakikatnya ia memperkukuh ketidakadilan.

"Oleh itu, masyarakat yang benar-benar bebas dan merdeka mesti punyai keberanian untuk menilai semula naratif yang dibentuk oleh kuasa-kuasa besar dan mempertahankan prinsip keadilan secara menyeluruh," katanya.

Anwar turut menyifatkan pelancaran buku A Malik Bennabi Reader dan Penubuhan IIFS pada hari ini sebagai satu usaha menanam benih perubahan dan bertanggungjawab terhadap masa depan yang didambakan.

"Dengan berpaksikan semangat yang MADANI dan inspirasi daripada pemikiran Bennabi, kita mesti bergerak ke hadapan dengan keyakinan bahawa dunia yang lebih adil dan bermaruah bukan utopia, tetapi sebuah kemungkinan yang boleh dijelmakan demi maslahat umat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan