DUNIA

UK Umum Rancangan Mudahkan Pembinaan Reaktor Nuklear Baharu

06/02/2025 11:24 PM

LONDON, 6 Feb (Bernama-PA Media/dpa) -- Kerajaan UK berjanji untuk mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan merombak peraturan perancangan untuk memudahkan pembinaan reaktor nuklear baharu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perdana Menteri Keir Starmer mengumumkan, lebih banyak loji tenaga nuklear akan diluluskan di seluruh England dan Wales dan karenah birokrasi akan "dikurangkan."

Reformasi ini akan membuka jalan untuk pembinaan reaktor modular kecil (SMRs) untuk pertama kalinya di UK, yang menurut menteri bertanggungjawab akan membantu menyediakan tenaga yang bersih, selamat dan lebih berpatutan.

Kerajaan turut mengumumkan peraturan "kuno" akan dibatalkan sementara pertumbuhan akan diutamakan berbanding penentang tempatan atau NIMBY.

UK ketinggalan dalam perlumbaan global untuk tenaga yang lebih bersih dan lebih berpatutan setelah bertahun-tahun tertangguh dan wujud halangan dengan loji nuklear terakhir dibina pada 1995, kata para menteri.

Di bawah langkah yang diumumkan pada Khamis, stesen janakuasa nuklear berskala kecil akan dimasukkan dalam peraturan perancangan buat pertama kali, dan senarai lapan lokasi khas untuk pembinaannya akan dimansuhkan.

Tarikh luput pada peraturan perancangan nuklear akan dibatalkan dan Pasukan Petugas Pengawalan Nuklear akan ditubuhkan.

Britain dianggap sebagai antara negara yang paling mahal untuk membina kuasa nuklear dan  kerana  itu pasukan petugas itu akan mempercepatkan kelulusan reka bentuk reaktor baharu dan menyelaraskan cara pemaju berurusan dengan pengawal selia.

Starmer berkata: "Negara ini tidak membina stesen kuasa nuklear dalam beberapa dekad. Kita  dikecewakan dan ketinggalan."

"Selama ini, keselamatan tenaga kita terikat pada kehendak (Presiden Rusia Vladimir) Putin, menyebabkan harga tenaga di UK melonjak sesuka hati.

"Saya akan mengakhirinya - merombak peraturan bagi menyokong pembangun negara dan menyingkirkan halangan yang menghalang kita daripada memperoleh tenaga lebih murah, merancakkan pertumbuhan ekonomi, serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan."

Setiausaha Tenaga Ed Miliband berkata: "Bina, bina, bina itulah yang dimaksudkan dengan misi tenaga bersih Britain."

"Rakyat Britain dibiarkan terdedah kepada pasaran tenaga global terlalu lama dan satu-satunya jalan keluar adalah untuk membina jalan kita ke era baharu elektrik bersih."

"Tenaga nuklear yang mewujudkan ribuan pekerjaan mahir. Itulah yang akan disampaikan oleh Kerajaan ini."

Menteri Tenaga Michael Shanks enggan memberi tempoh masa bila bil tenaga akan berkurang hasil daripada reformasi Kerajaan tetapi berkata ia mahu melihatnya turun "lebih cepat" daripada 2030.

Namun, beliau memberi amaran yang perubahan ini akan mengambil masa, memberitahu Times Radio: "Kalau boleh saya ingin mengatakan bahawa kita boleh menurunkan bil tenaga serta-merta namun ia tidak akan (berlaku)."

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan