BEIJING, 7 Feb (Bernama-CMG) -- Filem terbitan China yang ditayangkan di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 turut dibawa ke layar perak seberang laut dan berjaya memikat hati ramai penonton asing.
Filem “Creation of the Gods II: Demon Force” ditayangkan secara serentak di 16 negara dan wilayah termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain dan Bulgaria.
Pada 31 Jan hingga 2 Feb, filem itu mengungguli carta jualan tiket pecah panggung di benua Amerika Utara bagi kategori filem bukan berbahasa Inggeris.
Di Perancis pula, ia menjadi filem yang diberikan markah tertinggi dalam sistem penarafan pawagam tempatan untuk tempoh sama.
Sepanjang musim perayaan TBC, panggung wayang di beberapa bandar di Sepanyol dimeriahkan dengan filem “Detective Chinatown 1900”.
Filem detektif itu turut ditayangkan di sebanyak 213 pawagam di Amerika Utara serta 93 pawagam di Australia dan New Zealand, sekali gus membaharui rekod tayangan filem berbahasa Cina di seberang laut.
Rata-rata penonton asing sependapat bahawa filem berkenaan memperlihatkan industri perfileman China mencapai taraf tinggi dan memaparkan pesona budaya tradisional China.
Presiden Persatuan Pengkritik Filem China (CFCA) Rao Shuguang berkata tayangan serentak filem China di seberang laut sempena sambutan TBC mencerminkan kualiti filem China serta pengaruhnya di peringkat global semakin meningkat.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial