AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Menurun, Sabah Meningkat Petang Ini

07/02/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak menurun, manakala di Sabah meningkat setakat pukul 4 petang ini. 

Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan jumlah mangsa menurun kepada 4,389 orang berbanding 4,705 orang pagi tadi, dengan 21 PPS di lima bahagian beroperasi.

Bahagian Bintulu kekal merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,907 orang daripada 1,880 orang pada pagi tadi diikuti Mukah yang bertambah seorang kepada 615 orang, manakala di Bahagian Sarikei kekal 13 orang.

Mangsa di Sibu mencatatkan penurunan kepada 1,160 orang berbanding 1,186 orang, begitu juga di Miri yang menurun kepada 694 orang daripada 961 orang.

Selain itu, satu-satunya PPS di Samarahan ditutup 12.30 tengah hari tadi dengan banjir masih lagi melanda di kawasan tengah dan utara negeri itu.

Sementara itu, di SABAH jumlah mangsa terus meningkat kepada 663 orang daripada 178 keluarga, berbanding 608 daripada 162 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan peningkatan berkenaan berlaku apabila daerah Tambunan dilanda banjir dengan 13 orang daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Tambunan yang dibuka pada 9 pagi tadi.

“Seramai 246 orang (73 keluarga) ditempatkan di PPS Beaufort, 267 orang (68 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan, dan 137 orang (33 keluarga) di dua PPS daerah Keningau,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan