Oleh Sakini Mohd Said
JERANTUT, 9 Feb (Bernama) -- Inisiatif Yayasan Food Bank Malaysia, satu program penekanan kesedaran kepada pengguna mengenai inisiatif ‘sisa sifar’ yang diperkenalkan pada 2018, telah memberi manfaat besar kepada golongan B40 termasuk penduduk pedalaman Orang Asli di Taman Negara, Kuala Tahan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak menyangka usaha yang diperkenalkan beliau semasa menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu masih lagi diteruskan dan faedahnya turut dinikmati kawasan pedalaman.
Beliau berkata program bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat itu telah dinikmati selama lima tahun oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Orang Asli Keniam, Taman Negara, Kuala Tahan, yang diberikan secara mingguan kepada 23 keluarga.
“Alhamdulilah, inisiatif Yayasan Food Bank Malaysia yang saya asaskan dahulu kini telah berkembang begitu meluas sehingga mampu memberi manfaat kepada penduduk di (Taman Negara), Kuala Tahan, Pahang.
“Saya berasa bersyukur melihat bagaimana usaha kecil yang dimulakan dahulu kini dapat membantu lebih ramai lagi golongan yang memerlukan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri MEKAR Komuniti di Kampung Orang Asli Keniam, Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias.
Selain menyempurnakan penyerahan dokumen pengenalan diri kepada 24 penerima MyKad dan 20 penerima Sijil Kelahiran, Saifuddin Nasution juga turut menyerahkan bantuan bakul makanan Yayasan Food Bank Malaysia kepada 40 ketua isi rumah di perkampungan tersebut.
Melihat kepada perkembangan itu, beliau akan terus berusaha untuk menyokong inisiatif yayasan tersebut agar dapat diperluaskan kepada lebih banyak kawasan dalam memastikan lebih ramai lagi golongan B40 akan dapat menerima bantuan makanan dan keperluan asas itu.
“Selain program JPN, kita juga melibatkan Yayasan Hasanah dan Yayasan Food Bank Malaysia yang sudah lebih lima tahun menjalankan program pendidikan untuk anak-anak Orang Asli dan hari ini, mereka turut menyumbangkan bakul makanan kepada keluarga di sini.
“Ia satu inisiatif sangat terpuji oleh NGO yang datang ke pedalaman mengajar anak Orang Asli membaca dan menulis. Mereka telah menjalankan usaha ini dan ada yang berjaya menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Saya amat terharu dengan komitmen tinggi sukarelawan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial