JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Hilang Ditemukan Lemas Di Sungai Lipis

10/02/2025 06:07 PM

KUANTAN, 10 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Selasa, selepas terjatuh dari bot ditemukan lemas di Sungai Lipis berdekatan dengan Kampung Badang Jalan Cheroh di Batu Talam, Raub, hari ini. 

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata mayat Ahmad Khairul Nizam Sudin dijumpai selepas tujuh hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin membuat pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai dan selaman di lokasi. Mangsa ditemukan tertimbus di dasar sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan selanjutnya.

Wan Ahmad Fadillah berkata operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam, serta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Lady dan Grouse untuk mengesan mangsa dengan kaedah pencarian di tebing dan sungai. 

Pada Selasa lepas,  Ahmad Khairul Nizam bersama abangnya berusia 23 tahun mandi di sungai itu sebelum menaiki bot dan kemudiannya gagal mengimbangi diri lalu terjatuh dan dipercayai hanyut dibawa arus sungai. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan