AM

Lebih Ramai Wanita Borneo Perlu Sertai PERANTIS - Nancy  

11/02/2025 03:25 PM

KUCHING, 11 Feb (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyeru lebih ramai pemimpin wanita dari Borneo menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) tahun ini.

Beliau berkata pendaftaran bagi program tersebut dijangka dibuka pada 27 Feb ini.

“Saya menyeru mereka agar berani merealisasikan impian, mengembangkan potensi diri dan bersama-sama membina masa depan lebih cerah untuk wanita di negara ini,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Borneo di sini hari ini.

Nancy berkata kepimpinan wanita adalah satu aspek penting yang sentiasa diberi perhatian kementeriannya dan antara inisiatif utama diperkenalkan ialah program PERANTIS yang dimulakan pada 2024.

Beliau berkata program tersebut diwujudkan untuk melahirkan lebih ramai wanita berdaya saing dalam kepimpinan, memberi latihan dan pendedahan praktikal kepada mereka yang ingin menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.

“Wanita muda yang menyertai program ini berpeluang mendapat bimbingan daripada pemimpin wanita berpengalaman, serta membina rangkaian profesional yang dapat memperkukuhkan perjalanan mereka dalam dunia kepimpinan,” katanya.

Pada 26 Jan lepas, Nancy dilaporkan berkata 100 pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang profesional di seluruh negara dijangka menyertai program PERANTIS tahun ini.

Beliau berkata setiap daripada mereka akan menerima hingga RM50,000 untuk melaksanakan program pembangunan kepimpinan dalam bidang masing-masing.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan