JOHOR BAHRU, 11 Feb (Bernama) -- Kumpulan Fasa 1 2025 membabitkan guru dan pasukan kepimpinan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) telah ke Singapura semalam, dalam usaha merealisasikan visi pendidikan yang berkualiti untuk pelajar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata pasukan kepimpinan itu terdiri daripada guru dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) termasuk guru besar, pengetua serta guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, SMK Seri Kota Puteri 2 Masai, Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara Johor Bahru dan SK Seri Kota Puteri 4.
Beliau berkata dengan kerjasama erat Kementerian Pendidikan Singapura, guru dan pasukan kepimpinan SRBJ berpeluang melihat secara langsung fasiliti sekolah moden serta pendekatan pengajaran inovatif di Sekolah Rendah Dazhong dan Sekolah Menengah Marsiling.
“Tiga pengajaran utama yang diperoleh ialah Program Pembelajaran Terapan (ALP) yang menekankan pengalaman dunia nyata dan membina kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis dan inovasi.
“Selain itu, Pembelajaran Interdisiplinari yang mengintegrasikan pelbagai subjek untuk pemikiran holistik dan penyelesaian masalah kreatif manakala Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) mendidik pelajar melalui projek kolaboratif, memupuk kerja berpasukan, kepimpinan, dan aplikasi ilmu merentas bidang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Aznan dalam pada itu berkata kepimpinan SRBJ turut diberi taklimat mengenai teknik moden Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) serta aktiviti kokurikulum berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan bahasa Inggeris yang mampu meningkatkan minat pelajar dalam bidang kritikal ini.
Beliau berkata kumpulan itu turut ke Punggol Regional Library bagi mempelajari sistem yang diguna pakai dalam peminjaman buku dan tempahan dewan seminar, bilik perbincangan, bilik belajar serta mengaplikasikan segenap ruang yang ada dengan tema berbeza bagi menarik pengunjung ke perpustakaan.
“Kerajaan Johor terus komited dalam memastikan guru SRBJ ini dilengkapi kemahiran terbaik bagi merealisasikan visi pendidikan yang berkualiti untuk masa depan anak-anak Bangsa Johor,” katanya.
Sebelum ini, Aznan dilaporkan berkata lebih 4,300 pelajar dan 212 guru akan terbabit dalam fasa permulaan SRBJ, bermula sesi persekolahan baharu 16 Feb ini.
Beliau berkata projek rintis itu memberi penekanan terhadap penguasaan (STEM) dan bahasa Inggeris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial