AM

Laluan Dan Kawasan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Di P.Pinang Sesak, Ada Yang Pengsan

11/02/2025 11:51 PM

GEORGE TOWN, 11 Feb (Bernama) -- Orang ramai, terutama penganut Hindu, semakin memenuhi jalan dan kawasan menghala ke Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga di sini bagi sambutan Thaipusam.

Mereka mula membanjiri kawasan itu sejak pukul 6.30 petang tadi dan menjelang pukul 9 malam, jumlah pengunjung semakin bertambah sehingga menyebabkan kesesakan di laluan sepanjang dua kilometer menghala ke kuil berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, ketika dihubungi Bernama, memaklumkan keadaan di laluan dan kawasan menghala ke kuil itu agak sesak kerana jumlah pengunjung yang terlalu ramai.

"Namun, keadaan terkawal dan pihak polis juga sedang menjalankan kawalan di lokasi laluan serta kuil tersebut sehingga keadaan beransur kembali normal," katanya malam ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad pula memaklumkan keadaan yang terlalu sesak itu menyebabkan seorang pengunjung pengsan.

"Pengunjung itu telah dibawa ke hospital dengan ambulans yang memang berada dalam keadaan bersiap sedia di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Tinjauan Bernama mendapati situasi sambutan Thaipusam di sekitar kawasan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani agak sesak sejak pukul 9 malam dengan penganut tidak dapat bergerak dan terpaksa berhenti bagi tempoh yang agak lama.

Kelihatan juga beberapa penganut mengalami sesak nafas sehingga berpusu-pusu mencari ruang sebelum berlari ke dalam sebuah rumah di laluan kuil tersebut.

Tinjauan juga mendapati golongan wanita, warga emas dan kanak-kanak agak cemas ketika berdepan dengan situasi yang mendebarkan itu, sehingga terdapat seorang individu yang pengsan dan dibawa ke hospital dengan ambulans.

Sementara itu, perarakan kavadi terpaksa dihentikan buat seketika bagi meleraikan ‘kebanjiran’ penganut serta mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku semasa sambutan tersebut.

Bagaimanapun, situasi berada dalam keadaan terkawal dengan bantuan beberapa sukarelawan di ‘Thaneer Panthal’ (khemah mengedar makanan dan minuman percuma) serta anggota polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan