AM

Agrobank Tawar Pembiayaan Kepada Peniaga Menerusi Inisiatif Agrobazar Ramadan

13/02/2025 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Agrobank menawarkan pembiayaan bermula RM1,000 hingga RM100,000 kepada peniaga bazar Ramadan dengan tempoh bayaran balik hingga tujuh tahun, terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada bank berkenaan.

Inisiatif Agrobazar Ramadan itu yang bermula pada 13 Feb hingga 31 Mac ini bertujuan memberikan bantuan kewangan kepada peniaga bazar Ramadan termasuk penjualan lauk-pauk, kuih-muih, pakaian raya, kuih raya dan pelbagai keperluan lain yang dijalankan sepanjang bulan puasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif ini membantu golongan yang berhasrat berniaga di bazar Ramadan dan memerlukan bantuan kewangan.

"Fokus utama kami adalah untuk membantu peniaga ini mengusahakan perniagaan bersempena dengan bulan Ramadan. Kami turut menyediakan kanopi eksklusif Agrobank agar beban persediaan untuk perniagaan mereka dapat diringankan," katanya.

Selain itu, Agrobank menerusi Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) telah bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam mempromosikan Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 kepada peniaga terlibat.

Menurut Agrobank, kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 dirangka khusus dengan kerjasama strategik lima pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dan PayNet untuk mempromosikan penggunaan kod QR Agrobank sebagai mod pembayaran utama bagi peniaga-peniaga kecil. 

Peniaga bazar Ramadan yang menggunakan DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah utama menerima bayaran di 16 tapak bazar Ramadan yang terpilih akan berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan dan memperkukuh keperluan sosioekonomi rakyat dipenuhi dan menggiatkan pertumbuhan ekonomi di negeri itu. 

"Agrobank komited untuk terus menyokong usahawan mikro dan komuniti yang memerlukan dengan menyediakan pembiayaan yang fleksibel untuk membantu mereka mencapai kejayaan dalam perniagaan," katanya. 

Untuk maklumat lanjut mengenai cara permohonan pembiayaan atau syarat-syarat yang terlibat, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Agrobank atau mengunjungi cawangan Agrobank berdekatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan