KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan di sektor swasta selain temu duga terbuka bagi jawatan dalam perkhidmatan awam ditawarkan sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula esok hingga Ahad.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival anjuran bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkenaan menawarkan sesi temu duga terbuka jawatan Pengajar Gred U9 (Teknologi Pergigian), dengan calon berjaya dilantik bersandarkan kelulusan kekosongan jawatan di Kementerian Kesihatan seluruh negara.
“SPA juga akan mengadakan Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) secara terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan Keselamatan dan Pertahanan Awam (K),” menurut PERKESO, yang memaklumkan sesi temu duga dijalankan secara lebih berkesan melalui saluran mudah diakses tanpa karenah birokrasi.
Sebanyak 30 majikan sektor swasta dan badan berkanun turut serta dalam karnival kali ini antaranya Habib Group, IHH Healthcare Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Chong Group, GHL System, Agro Bank, Prasarana Malaysia Berhad, Bank Islam dan AEON Co (M) Berhad.
Pertubuhan itu memaklumkan antara jawatan yang ditawarkan termasuk Pengurus Kewangan Perniagaan, Pengurus Kumpulan Kewangan, Pengarah Jualan dan Konsultan Teknikal dengan kadar gaji sekitar RM13,000 hingga RM15,999.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tahun lepas sebanyak 4,156 karnival kerjaya dan temu duga telah dilaksanakan MFJ dengan membantu 53,327 individu mendapat pekerjaan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial