POLITIK

Warisan Nafi Wujud Persefahaman Bahagi Kerusi Dengan BN - Darell Leiking

14/02/2025 09:00 PM

KOTA KINABALU, 14 Feb (Bernama) -- Parti Warisan (Warisan) hari ini menafikan wujudnya persefahaman parti itu dengan Barisan Nasional (BN) Sabah melibatkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Timbalan Presidennya Datuk Darell Leiking berkata dakwaan sebuah portal berita mengenai persefahaman antara Warisan dan BN Sabah itu hanyalah andaian dan spekulasi semata-mata. 

“Saya telah menerima banyak panggilan serta pesanan Whatsapp daripada wartawan, ahli Warisan dan orang awam yang bertanyakan adakah ia benar bahawa satu persefahaman pilihan raya antara Warisan dan BN Sabah telah dibuat.

“Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan di sini bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat antara Warisan dan BN Sabah termasuk dengan mana-mana parti politik yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Cadangan atau pendapat tentang persefahaman pilihan raya antara Warisan dan parti-parti politik yang lain tidak pernah dibawa ke peringkat Biro Politik atau Majlis Tertinggi parti itu untuk dibincangkan, menurut beliau.

Semalam, sebuah portal berita mendakwa Warisan dan BN Sabah telah mengadakan perbincangan bagi mencapai kompromi dalam PRN Sabah akan datang dan mendakwa kedua-dua pihak dilaporkan berkemungkinan tidak bertanding antara satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri mempunyai tempoh sehingga Oktober ini sebelum DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan