Oleh Mohd Fakri Awang Lah
ALOR GAJAH, 15 Feb (Bernama) -- Kerjasama erat antara negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia dan Indonesia terus menjadi benteng utama dalam memastikan keselamatan perairan di Selat Melaka yang juga laluan maritim strategik dan titik sempit penting bagi kawalan kedaulatan negara.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menghadapi cabaran besar dalam mengawal perairan yang hanya berjarak kira-kira 15 batu nautika (27.28 kilometer) dari Kuala Linggi ke Pulau Rupat, Indonesia.
Dengan jarak yang dekat serta kehadiran bot berkuasa tinggi, aktiviti penyeludupan rentas sempadan dapat dilakukan dalam tempoh hanya 30 minit, menjadikan laluan ini antara digemari sindiket jenayah.
Namun, keupayaan ASEAN sebagai sebuah badan serantau dalam menangani ancaman ini terbukti berkesan menerusi sinergi risikan serta operasi bersama antara Malaysia dan Indonesia.
Pertukaran maklumat yang pantas serta tindakan operasi yang diselaraskan telah membantu mengekang jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan dadah, rokok putih dan pencerobohan nelayan asing.
Bercakap kepada Bernama, Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan Kepten (M) Mohd Khairi Abd Aziz berkata sepanjang 2022 hingga 2024, sebanyak 138 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan direkodkan dengan nilai rampasan mencecah RM10 juta.
"Antara kes berprofil tinggi termasuk rampasan 11 bot yang digunakan untuk membawa 121 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara, selain rampasan dua bot pancung yang dilengkapi enam enjin berkuasa tinggi dengan muatan rokok kretek bernilai RM2.95 juta.
"Selain itu, kami juga merampas 20 kilogram (kg) dadah yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam temu bual sempena sambutan ulang tahun ke-20 Maritim Malaysia.
Mohd Khairi berkata bagi memperkukuh kerjasama mempertahankan kedaulatan perairan, Maritim Malaysia menjalinkan operasi tahunan bersama Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) menerusi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim Malaysia-Indonesia (PATKOR OPTIMA MALINDO).
Operasi itu yang kini memasuki siri ke-31 bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman keselamatan di perairan sempadan.
Selain itu, kerjasama antara kedua-dua negara itu turut merangkumi pertukaran maklumat risikan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.
Mohd Khairi berkata Search and Rescue Exercise (SAREX) Malaysia-Indonesia (MALINDO) dijalankan setiap tahun untuk menilai keberkesanan koordinasi serta memperkukuh SOP operasi SAR ASEAN.
Latihan juga turut meningkatkan hubungan antara Rescue Co-Ordination Centre (RCC) dan Rescue Sub Centre (RSC) dalam mengkoordinasikan operasi SAR bersama,” katanya.
Dalam menyokong operasi di Selat Melaka, Maritim Malaysia telah menempatkan enam bot pemintas berkelajuan tinggi seperti PENGGALANG, PETIR, PENGAWAL, BENTENG dan PERKASA di kawasan tanggungjawab Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Pemantauan juga diperkukuh dengan penggunaan Radar Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) yang ditempatkan di Pulau Undan dengan keupayaan mengesan sejauh 20 hingga 50 batu nautika.
"Selain itu, dron turut digunakan untuk mendapatkan maklumat di lokasi sukar diakses, membolehkan tindakan lebih efisien dan tepat dalam menangani sebarang ancaman maritim," katanya.
Maritim Malaysia hari ini meraikan sambutan ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan tema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’.
Sambutan yang berlangsung di Pulau Pinang itu menampilkan pelbagai acara seperti 'fleet review' aset-aset maritim, Karnival Maritim Perkasa (KMP), perbarisan rasmi, demonstrasi penyelamatan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) serta pameran kerjaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial