AM

MoF Jangka Peruntukan Kampung Angkat Madani Dibelanjakan Sepenuhnya Tahun Ini

15/02/2025 10:05 PM

LANGKAWI, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menjangkakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membangunkan 42 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara akan dibelanjakan sepenuhnya tahun ini untuk melengkapkan kemudahan asas di kampung terbabit.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peruntukan itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bertujuan merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan menyediakan kemudahan bekalan air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian Internet.

“Program Kampung Angkat MADANI ini dikelolakan oleh kementerian dan agensi kerajaan, projek-projek berkaitan di kesemua 42 kampung yang terlibat telah bermula dan sehingga kini ada sedikit lagi projek masih dilaksanakan.

“Dijangkakan peruntukan yang kita beri daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM100 juta untuk program itu akan dibelanjakan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat beberapa lokasi projek pembangunan Kampung Angkat MADANI Pulau Tuba dekat sini.

Amir Hamzah berkata bagi tahun ini, program berkenaan diperluas kepada 200 kampung membabitkan peruntukan sebanyak RM200 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata setiap kampung akan diperuntukkan RM1 juta selain akan melibatkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut menyumbang bagi pembangunan kemudahan asas.

“Bila GLC masuk membantu, mereka juga akan tambah peruntukan, jadi mungkin lebih banyak lagi kebaikan yang akan berlaku di kampung tersebut. Tapi yang pentingnya kita nak penglibatan penduduk tempatan untuk mereka menjana ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Serahan Projek Kampung Angkat MADANI Pulau Tuba, Amir Hamzah berkata sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kepada Pulau Tuba dan Selat di bawah program tersebut bagi pelaksanaan 13 projek serta program komuniti.

“13 projek dan program yang telah dilaksanakan ini merangkumi projek yang berimpak tinggi kepada komuniti seperti pencahayaan lampu solar, penyediaan sumber air alternatif seperti telaga tiub, menaik taraf kemudahan awam seperti masjid, balai raya, projek peningkatan pendapatan usahawan seperti kiosk MADANI dan juga projek berasaskan pelancongan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan