AM

Persiapan Saat Akhir: Ibu Bapa Sibuk Beli Keperluan Sekolah Ianak

16/02/2025 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Menjelang pembukaan sesi persekolahan 2025 esok, ibu bapa di ibu negara dan 10 negeri lain masih sibuk membeli kelengkapan sekolah bagi memastikan keperluan anak-anak mereka tersedia sepenuhnya untuk sesi baharu.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya dan premis barangan sekolah di ibu negara mendapati ramai ibu bapa memanfaatkan hari terakhir cuti sekolah untuk membeli keperluan seperti pakaian, kasut, beg dan alat tulis mengikut kemampuan masing-masing.

Seorang ibu, Suraihan Muhammad, 33, berkata beliau memulakan persiapan sejak pagi bagi mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan demi memastikan anak-anaknya memperoleh kelengkapan terbaik.

“Tahun ini persiapan agak saat akhir kerana anak dimasukkan ke wad, jadi kami terpaksa menangguhkan pembelian ke hari ini. Minggu ini memang mencabar,” katanya ketika ditemui Bernama di sebuah pusat pakaian di sini.

Beliau yang juga ibu kepada lima anak melahirkan rasa syukur atas bantuan kerajaan menerusi inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang sangat membantu dalam membeli keperluan sekolah seperti tudung dan alat tulis.

Di Selangor, ibu kepada empat anak, Faridah Tasman, 44, berkata beliau hanya membeli barangan yang benar-benar diperlukan kerana masih banyak kelengkapan sekolah yang boleh digunakan semula.

“Ini cara kami berjimat. Kami perlu menyusun perbelanjaan dengan baik kerana perlu bersedia untuk Ramadan dan persiapan Hari Raya,” katanya ketika ditemui di Puncak Alam.

Di Perak, Nor Zakiah Mohd Azman, 40, dari Taman Meru memperuntukkan kira-kira RM2,000 untuk membeli kelengkapan sekolah tiga anak lelakinya yang berusia 13 hingga 17 tahun.

Selain menggunakan BAP sebanyak RM150 seorang, beliau turut memanfaatkan baucar kelengkapan sekolah RM100 seorang sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun.

Sementara itu, di Pahang, seorang ayah yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Din, 52, berkata beliau melakukan persiapan awal dengan membeli barangan sekolah di kedai yang menyertai Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena kempen ‘Kembali Semula Ke Sekolah’.

“Program ini, bersama BAP, sangat membantu saya menyediakan keperluan sekolah untuk lima anak yang masih bersekolah. Ada yang kata tidak cukup tetapi sebagai ibu bapa, kita kena bijak berbelanja,” kata pekerja swasta itu.

Di Negeri Sembilan, seorang ibu, Norazean Basir, 45, berkata beliau merancang lebih awal dengan membeli barangan sekolah secara berperingkat sejak Januari bagi meringankan beban perbelanjaan.

“Kos untuk seorang anak sekitar RM200, tidak termasuk yuran PIBG. Alhamdulillah, semua anak saya mendapat BAP, jadi ia sangat membantu,” katanya yang berniaga kuih dan biskut di Seremban Jaya.

Di Pulau Pinang, seorang peniaga, Khairul Azhar Rusli, 40, berkata beliau dan isterinya terpaksa membeli kelengkapan sekolah pada saat akhir kerana perlu mengumpul wang hasil perniagaan gerai air balang dan kuih-muih.

Di Melaka, Nur Atikah Ahmad, 36, berkata separuh daripada keperluan sekolah anaknya telah dibeli lebih awal, manakala selebihnya menggunakan bantuan program ‘Kembali Semula Ke Sekolah’  sebanyak RM200 yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Di Johor, penjawat awam Nurul Huada Husin, 41, berkata beliau dan suami menggunakan BAP untuk membeli pakaian sekolah anak mereka yang akan memasuki tingkatan satu esok.

“BAP daripada kerajaan sangat membantu keluarga kami, dan saya pasti manfaatnya dirasai oleh semua ibu bapa,” katanya.

Di Perlis, suri rumah Haliza Ismail, 38, dari Sanglang, dekat Arau, membeli alat tulis untuk dua anaknya yang berusia tujuh dan sembilan tahun di kedai berhampiran rumahnya.

Di Sabah, Jeanette Sokudim, 42, seorang kerani dari Kampung Limbanak, Penampang, berkata beliau membeli keperluan sekolah asas seperti pakaian dan kasut lebih awal melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) ‘Kembali Semula Ke Sekolah’  yang bermula sejak 18 Jan.

“Hari ini hanya tambah barang yang masih kurang seperti alat tulis dan buku. Pakaian semua sudah dibeli lebih awal kerana tidak mahu kehabisan saiz,” katanya yang mempunyai dua anak berusia 9 dan 12 tahun.

Di Sarawak, Rosalia Incha, 38, seorang ibu kepada tiga anak, meluahkan kebimbangannya mengenai kenaikan harga kelengkapan sekolah setiap tahun dan perlu berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan