AM

Ahli OANA Perlu Manfaatkan Ai Untuk Kekal Di Hadapan Dalam Landskap Media Yang Berkembang - KPE Bernama

17/02/2025 11:15 AM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Ahli Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) boleh memanfaatkan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka kekal di hadapan  dalam landskap media yang semakin berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata melalui OANA, para ahli berpeluang menetapkan standard bagi kecemerlangan kewartawanan, sekali gus memperkasakan agensi mereka untuk menyesuaikan diri dan berkembang dalam dunia yang berubah dengan pantas.

"Sebagai profesional media, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk menegakkan nilai kebebasan bersuara, pelaporan beretika dan penyebaran berita yang saksama.

"Prinsip-prinsip ini merupakan asas kepada masyarakat yang bebas dan bermaklumat," katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) OANA ke-54 yang dihoskan Bernama di sini hari ini.

Ia dihadiri Setiausaha Agung OANA Zaman Rezakhani, yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj termasuk wakil dari 13 agensi berita antarabangsa.

Nur-ul Afida berkata mesyuarat itu adalah platform penting untuk menangani cabaran dan peluang utama yang membentuk landskap media masa kini.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi yang pesat, perubahan tingkah laku khalayak  serta ancaman maklumat palsu yang semakin meluas menuntut profesional media untuk berfikir secara kolaboratif dan inovatif.

Menurutnya, EBM OANA ke-54 akan meneroka tema utama, termasuk strategi untuk membangunkan pendekatan digital-utama yang berpusatkan audiens  serta usaha menangani maklumat salah dan maklumat palsu.

"Topik-topik ini akan menjadi tumpuan perbincangan panel, yang bakal memberikan pandangan berharga dan strategi yang boleh dilaksanakan oleh ahli agensi dalam organisasi masing-masing," katanya.

Berkongsi usaha Bernama dalam menangani maklumat salah dan maklumat palsu , beliau berkata agensi berita itu telah menubuhkan inisiatif semakan fakta bebas, MyCheck Malaysia, pada Mac 2020.

Mematuhi piawaian yang ditetapkan Rangkaian Semakan Fakta Antarabangsa (IFCN), MyCheck Malaysia memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan kepada keharmonian masyarakat, keselamatan, kehidupan seharian dan kesejahteraan ekonomi.

Proses semakan fakta melibatkan pemantauan sumber maklumat yang berpotensi mengelirukan, perbincangan secara kolaboratif, penyiasatan menyeluruh dan pelaporan yang telus," katanya.

Nur-ul Afida juga berkata EBM OANA ke-54 diadakan pada detik yang signifikan kerana Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Pelbagai mesyuarat akan diadakan di seluruh negara memandangkan Malaysia komited untuk menggalakkan kerjasama, pertumbuhan ekonomi dan persefahaman budaya serantau.

"Bernama akan memberikan liputan komprehensif mengenai mesyuarat ASEAN ini dan akan berkongsi berita menerusi saluran OANA untuk manfaat ahli kami," katanya.

Sebagai satu daripada kerjasama agensi berita terbesar di dunia yang mewakili 41 agensi ahli dari 33 negara, OANA memainkan peranan penting dalam membentuk naratif, menangani cabaran serta memperjuangkan nilai-nilai kewartawanan yang berwibawa.

Beliau menegaskan bahawa OANA telah menjadi tonggak integriti kewartawanan dan kerjasama sejak penubuhannya pada 1961, dan pertubuhan itu kini telah berkembang menjadi satu kuasa global, menyebarkan dua pertiga daripada maklumat dunia.

"Legasi yang mengagumkan ini adalah bukti kekuatan kolektif para ahli yang berkongsi komitmen bersama dalam menyampaikan berita yang tepat pada masanya, jitu dan seimbang kepada audiens di seluruh dunia," katanya.

Nur-ul Afida berkata Bernama berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini selama lebih 20 tahun, dan setelah sekian lama menjadi ahli dalam Lembaga Eksekutif OANA, menyaksikan sendiri kesan positif organisasi itu dalam menangani cabaran, memupuk inovasi dan menyatukan pelbagai suara di bawah satu misi bersama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan