AM

Tiada Dasar Baharu Berkaitan Tempoh Pengesahan Doktor Pakar - KP Kesihatan

17/02/2025 05:31 PM

PUTRAJAYA, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menetapkan dasar baharu atau meminda garis panduan dalam Akta Perubatan 1971 (Akta 50) berkaitan tempoh pengesahan doktor pakar seperti dilaporkan sebuah portal berita minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dakwaan bahawa KKM mewajibkan tempoh pengesahan sebagai doktor pakar sehingga 18 bulan dan pegawai perubatan menerima kurang daripada separuh gaji yang sepatutnya juga tidak benar sama sekali.

“Pada masa yang sama, Akta Perubatan (Pindaan) 2024 (Akta A1729) iaitu pindaan pada 2024 terhadap Akta 50 belum dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kajian mengenai penyelarasan elaun Bayaran Insentif Pakar (BIP) kini berada di peringkat akhir untuk diselarikan dengan lunas undang-undang. 

“Sebarang keputusan mengenainya akan diumumkan secara rasmi setelah dimuktamadkan dengan agensi-agensi pusat,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata sebarang perubahan penyelarasan elaun hanya akan terpakai kepada pengamal perubatan yang tamat latihan kepakaran selepas Akta A1729 dikuatkuasakan.

Menerusi artikel ‘Bantah Dasar Baharu Sahkan Doktor Pakar’ yang disiarkan 10 Feb itu, portal berkenaan mendakwa lanjutan tempoh tersebut terkandung dalam garis panduan yang dipinda menerusi Akta 50 dan Perintah-Perintah Am Bab F (Perubatan) Jabatan Perkhidmatan Awam 1974.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan