Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memperbaharui perjanjian sedia ada dengan dua agensi berita lain, iaitu Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional (ANTARA) Indonesia dan Kyodo News Jepun, sekali gus menambah nilai kepada kerjasama berterusan mereka.
Pembaharuan itu, yang dimuktamadkan pada Isnin (17 Feb), bertujuan mengukuhkan perkhidmatan kandungan bagi memenuhi permintaan media baharu yang semakin berkembang, iaitu berita kini tidak lagi terhad kepada teks semata-mata.
Kerjasama yang diperbaharui ini dimeterai melalui pertukaran dokumen di luar Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA EBM) ke-54 yang sedang berlangsung di sini.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernama dan ANTARA sebelum ini ditandatangani pada November 2021 di Jakarta, yang disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan rasminya ke Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata perjanjian yang diperbaharui itu bertujuan untuk melengkapkan MoU 2021.
“Sebelum ini, kerjasama tertumpu kepada berita berbentuk teks tanpa gambar. MoU yang diperbaharui kini merangkumi kandungan foto dan video.
“Penambahbaikan ini berasaskan perjanjian sedia ada sejak empat tahun lalu dan dijangka membawa perubahan positif dalam penyebaran kandungan kedua-dua agensi,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama (PBA).
Bernama dan ANTARA telah menjalinkan hubungan kerjasama selama lebih lima dekad, termasuk pertukaran berita antara kedua-dua agensi media negara.
Bernama juga menempatkan wartawan luar negara pertamanya di Jakarta pada Oktober 1971.
ANTARA yang ditubuhkan pada 13 Dis 1937, menyediakan perkhidmatan berita kepada pelbagai organisasi media serta mempunyai wartawan di seluruh Indonesia dan beberapa lokasi antarabangsa.
Dalam majlis pertukaran itu, Bernama diwakili Nur-ul Afida, manakala ANTARA diwakili Pengarang Urusannya, Teguh Priyanto dan Kyodo News oleh Moriyasu Chikazawa, Pengarah Urusan Jabatan Antarabangsa mewakili agensinya.
Majlis itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Editor Eksekutif (menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang) Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak dan ahli Lembaga Eksekutif OANA.
Bagi pembaharuan MoU dengan Kyodo News, Nur-ul Afida menjelaskan bahawa inisiatif itu dicadangkan oleh agensi berita Jepun tersebut bagi meningkatkan lagi perjanjian sedia ada.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperbaharui MoU, menyedari kejayaan kerjasama kami sebelum ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Bernama mengutamakan kerjasama dengan agensi berita antarabangsa bagi memastikan kandungannya dapat menjangkau khalayak di pelbagai platform pada peringkat serantau dan global.
“Kerjasama seperti ini membolehkan suara dan pendirian Malaysia didengari di peringkat antarabangsa.
“Sebagai contoh, dunia kini lebih menyedari pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Gaza, hasil laporan Bernama yang dikongsi melalui pelbagai saluran antarabangsa,” tambahnya.
Menurut laman web kyodonews.net, Kyodo News yang ditubuhkan pada 1945 merupakan agensi berita utama Jepun yang memberi penekanan kepada perspektif Jepun dan Asia, dengan liputan meliputi perkembangan politik, ekonomi dan sosial serta bidang sukan, seni dan budaya.
Kyodo News dikenali sebagai agensi berita paling dipercayai di Jepun kerana liputannya yang bebas daripada kepentingan kerajaan dan komersial.
Bernama pula ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta Parlimen 1967.
Malaysia melalui Bernama, menjadi tuan rumah OANA EBM ke-54 selama empat hari bermula Ahad (16 Feb).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial