KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Sekolah sesi petang di Semenanjung akan tamat pada pukul 5.30 petang, manakala 5 petang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang Ramadan ini, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan bahawa sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.
“Sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan beroperasi seperti biasa pada Ramadan seperti tahun sebelum ini berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang diguna pakai,” katanya.
“KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, sesi petang ditetapkan bagi membolehkan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadah bulan Ramadan dengan selesa.
“KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial