Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) akan menganjurkan bengkel dalam talian mengenai teknologi baharu dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) buat pertama kali untuk wartawan agensi ahli, kata Setiausaha Agung OANA Zaman Rezakhani.
“Lembaga eksekutif (OANA) telah memberi kuasa kepada setiausaha agung untuk mengadakan dua bengkel dalam talian mengenai teknologi digital dan AI sebelum Perhimpunan Agung akan datang (di Rusia) pada 21 Jun.
“Masa sebenar bagi bengkel dalam talian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) OANA ke-54 di sini, Isnin.
Bernama diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dalam mesyuarat itu.
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat berkenaan, Zaman - yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) - berkata ahli lembaga eksekutif meneliti aktiviti OANA sepanjang 2024, termasuk dua pertandingan yang dianjurkan bagi kategori anugerah foto terbaik dan anugerah artikel terbaik.
“Tahun ini, kami akan menganjurkan lebih banyak pertandingan untuk melibatkan lebih ramai agensi ahli. Tahun lalu, pertandingan foto hanya bertemakan warisan budaya dan pelancongan.
“Tahun ini, kami memutuskan untuk menambah lebih banyak kategori dan topik seperti ekonomi, sukan, alam sekitar dan pelbagai kategori lain agar ia lebih inklusif untuk pertandingan foto dan artikel,” katanya.
Ditanya sama ada OANA bercadang untuk menarik lebih banyak agensi menyertai pertubuhan itu, Zaman menjelaskan bahawa keahlian baharu perlu melalui permohonan rasmi.
“Terdapat beberapa agensi berita yang sedang berbincang dengan OANA, dan jika prosesnya selesai, kami akan mengemukakannya dalam Perhimpunan Agung seterusnya. Perhimpunan Agung akan meluluskan keahlian baharu, dan adalah menjadi tanggungjawab Perhimpunan Agung untuk mengundi keahlian baharu,” katanya.
“Terdapat satu agensi berita yang sedang memohon keahlian, tetapi saya tidak boleh menyebut namanya sehingga proses selesai,” tambahnya.
OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memudahkan pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam rantau yang merangkumi lebih separuh daripada populasi dunia.
OANA kini mempunyai 41 agensi berita dari 33 negara sebagai ahli, dengan 13 agensi menganggotai Lembaga Eksekutifnya.
EBM OANA diadakan setiap tahun, dengan mesyuarat terakhir dianjurkan di Rusia.
EBM OANA ke-54 menghimpunkan wakil daripada 13 agensi berita antarabangsa, iaitu Islamic Republic News Agency (Iran), Yonhap News Agency (Korea Selatan), Azertac (Azerbaijan), TASS (Rusia), Anadolu Ajansi (Turkiye), Xinhua (China), WAM (Emiriah Arab Bersatu), Kyodo News (Jepun), Qatar News Agency, Vietnam News Agency, Montsame (Mongolia), Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional atau ANTARA (Indonesia) dan MEHR News Agency (Iran).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial