JENAYAH & MAHKAMAH

Eksekutif Bank Mengaku Tidak Salah Minta, Terima Rasuah

18/02/2025 02:31 PM

MELAKA, 18 Feb (Bernama) -- Seorang eksekutif sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 15 pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM9,000 daripada tiga firma guaman antara 2017 hingga 2021.

Nurulhayat Mohamad Nor, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh didakwa secara rasuah meminta dan menerima suapan wang tunai bernilai RM8,920.79 daripada firma guaman terbabit sebagai upah membantu mendapatkan rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dan menguruskan pinjaman berkenaan dengan institusi kewangan.

Wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad Cawangan Melaka Main di Jalan Hang Tuah, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Cawangan Melaka di Taman Melaka Raya dan di sebuah firma guaman di Taman Merdeka antara Julai 2017 hingga Februari 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM46,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan sehingga tamat perbicaraan.

Peguam Muhammad Aizat Fakri merayu jaminan sekitar RM3,000 bagi setiap kes memandangkan suami kepada anak guamnya yang menjadi penjamin tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung tiga anak.

Mahkamah membenarkan Nurulhayat diikat jaminan RM21,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dimohon pendakwaan serta menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan