EKONOMI

OCBC Bank Lancar Pusat Pelanggan Persendirian Premier Pertama Di Malaysia

18/02/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- OCBC Bank (Malaysia) Bhd secara rasmi melancarkan Pusat Pelanggan Persendirian Premier OCBC di Bangsar sebagai pusat utama untuk menggandakan bilangan pelanggan premier di negara ini dalam tempoh lima tahun.

Pusat itu dirasmikan hari ini oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, iaitu lokasi bagi pusat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank Tan Chor Sen berkata Pusat Pelanggan Persendirian Premier itu direka khusus untuk individu berpendapatan tinggi dengan aset di bawah pengurusan sekurang-kurangnya RM3 juta.

"Sambil bidang pengurusan kekayaan berkembang maju, begitu juga dengan jangkaan pelanggan. perkhidmatan pelanggan persendirian premier kami beroperasi berlandaskan rangka kerja 'Satu Kumpulan' OCBC yang padu, membolehkan kami menyampaikan penyelesaian secara bersepadu.

"Pusat baharu ini menyediakan suasana yang ideal untuk memastikan pelanggan boleh mendapatkan suasana peribadi dengan laluan masuk dan keluar yang tertutup ke ruang istirahat peribadi bagi mengadakan perbincangan bermakna dengan penasihat pelanggan masing-masing," katanya kepada pemberita di majlis perasmian itu.

Pusat berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di luar negara asal bank iaitu Singapura.

Berada di kawasan seluas 18,000 kaki persegi, pusat itu terletak di kawasan perumahan Bangsar yang strategik, dan mudah ditujui serta tidak dibelenggu kesesakan biarpun berhampiran dengan pusat bandar.

Lebih menarik lagi, pusat berkenaan menyediakan pengalaman menjamu selera dalaman, menyajikan makanan tempatan pilihan khas secara terus daripada dapur lengkap di premis tersebut semasa bertemu dengan penasihat pelanggan.

Ia disokong oleh pasukan perkhidmatan yang terdiri daripada bekas kakitangan syarikat penerbangan yang mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi.

Pusat itu juga akan menganjurkan acara eksklusif menerusi jemputan khas, menawarkan pengalaman unik seperti majlis cuba rasa yang tersendiri, pameran seni, dan tontonan hasil karya bersama pakar-pakar terkemuka di samping  keistimewaan gaya hidup, yang semuanya direka untuk menambah baik pengalaman pengurusan kekayaan pelanggan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan