AM

PDRM Terima 482 Laporan Sindiket "job Scam" Libatkan 628 Rakyat Malaysia

19/02/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 482 laporan setakat 17 Jan lepas membabitkan sebanyak 628 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa berkaitan sindiket penipuan tawaran pekerjaan atau job scam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, 14 daripada 15 mangsa dari Sabah berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih terkandas di luar negara. 

Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan langkah-langkah komprehensif termasuk meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan pada peringkat domestik dan antarabangsa. 

“PDRM turut melaksanakan perkongsian maklumat risikan dan data tentang rangkaian sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang bersama-sama Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol) dan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) bagi tujuan analisis trend dan strategi intervensi penguatkuasaan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Bangunan Parlimen hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai isu pemerdagangan manusia menerusi sindiket penipuan tawaran pekerjaan. 

Shamsul Anuar berkata PDRM juga komited menangani sindiket jenayah penipuan pekerjaan di luar negara dan memastikan maklumat tepat diperoleh masyarakat pedalaman menerusi sesi libat urus bersama Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos untuk tujuan perkongsian maklumat dan penyelarasan misi menyelamatkan mangsa. 

Selain itu, beliau berkata agensi di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), seperti Kementerian Komunikasi serta Kementerian Belia dan Sukan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memberi kesedaran kepada orang awam khususnya golongan muda berhubung jenayah itu.

“Antara program komunikasi yang dilaksanakan pada 2024 ialah audio siar, infografik di platform media sosial, sesi bual bicara, pertandingan video pendek Youth Preventing Human Trafficking and Migrant Smuggling, cetakan visual hebahan pada badan bas, Program JIWA Komuniti MADANI untuk Ahli-Ahli Parlimen dan cetakan risalah,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya melalui MAPO juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi kerjasama penganjuran kempen kesedaran melalui pembukaan reruai pameran dan skrin paparan digital yang terdapat di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan