AM

Hampir Separuh Pesakit Buah Pinggang Kronik Di Malaysia Kehilangan Pekerjaan

19/02/2025 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan hampir separuh daripada pesakit buah pinggang kronik (CKD) peringkat lanjut di negara ini kehilangan pekerjaan akibat keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Nefrologi di Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM Dr Lydia Kamaruzaman, yang mengetuai kajian terbaharu berkaitan penyakit buah pinggang itu berkata situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan golongan berkenaan, terutama yang bergantung kepada rawatan dialisis jangka panjang.

Dr Lydia berkata majoriti mereka yang terkesan adalah penghidap diabetes mellitus iaitu 67 peratus dan tekanan darah tinggi (92.8 peratus), yang merupakan faktor risiko utama kepada CKD.

“Selain itu, 55.3 peratus pesakit dalam kajian ini juga mengalami obesiti, yang dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan, sekali gus memburukkan lagi keadaan mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UKM di sini hari ini.

Turut menimbulkan kegusaran apabila kajian itu mendapati kebanyakan pesakit CKD yang menganggur datang dalam kalangan golongan B40 dengan 86 peratus daripadanya berada dalam kategori berpendapatan rendah.

Beliau berkata ketiadaan pendapatan tetap menyebabkan pesakit berdepan dengan kesukaran untuk menanggung kos rawatan yang boleh mencecah RM40,000 setahun, sekali gus meningkatkan lagi beban kewangan kepada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Selain faktor kesihatan, tahap pendidikan juga memainkan peranan penting dalam peluang pekerjaan pesakit CKD. Kajian mendapati pesakit dengan tahap pendidikan lebih tinggi mempunyai 81 peratus peluang untuk terus bekerja berbanding mereka yang hanya berpendidikan rendah.

“Hal ini menunjukkan bahawa pekerjaan yang lebih fleksibel dan kurang bergantung kepada tenaga fizikal memberi peluang lebih baik kepada pesakit CKD untuk meneruskan kehidupan mereka tanpa kehilangan mata pencarian,” katanya.

Dari segi kesihatan mental pula, Dr Lydia berkata pesakit CKD yang menganggur dilaporkan cenderung untuk mengalami tekanan emosi lebih tinggi, termasuk masalah kemurungan dan kebimbangan. 

“Bagi pesakit yang masih bekerja pula kajian mendapati mereka mengalami kadar ketidakupayaan kerja sebanyak 24.3 peratus dan 13.3 peratus daripada mereka terpaksa mengambil cuti sakit secara berkala akibat kesan penyakit ini terhadap kesihatan mereka,” katanya.

Justeru, beliau menyeru supaya tindakan segera diambil seperti memperkenalkan polisi dan sokongan lebih menyeluruh bagi pesakit CKD, khususnya dalam aspek pekerjaan dan rawatan kesihatan, antaranya dengan mewujudkan program pekerjaan fleksibel, subsidi perubatan serta insurans kesihatan bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

“Penyakit ini bukan hanya memberi kesan kepada tubuh badan mereka, tetapi turut mengganggu kehidupan seharian, termasuk pekerjaan dan kewangan mereka. Oleh itu, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya. 

Beliau menegaskan bahawa usaha bersama daripada semua pihak, termasuk kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan dan masyarakat adalah penting untuk memastikan pesakit CKD mendapat sokongan yang mencukupi, bukan hanya dalam rawatan perubatan tetapi juga kestabilan kewangan dan pekerjaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan