DUNIA

Imam Besar Al-Azhar Seru Perpaduan Dan Kerjasama Negara-Negara Islam 

19/02/2025 09:52 PM

Daripada Noor Bakthtiar Ahmad

MANAMA (Bahrain), 19 Feb (Bernama) -- Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif, Dr Ahmed Al-Tayyeb menyeru negara-negara Islam untuk bersatu dan menangani cabaran semasa melalui persefahaman serta kerjasama erat. 

Al-Tayyeb, yang juga Pengerusi Majlis Hukama Muslimin menekankan bahawa dunia Islam sedang berdepan krisis nyata, dengan umat Islam ditindas di pelbagai wilayah di seluruh dunia. 

Beliau menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk menangani cabaran ini adalah melalui perpaduan negara-negara Islam, tanpa mengira geografi atau fahaman politik. 

"Kita mesti mengakui bahawa kita sedang menghadapi krisis yang nyata, dan umat Islam di serata dunia diganggu serta ditindas.

“Tidak kira di mana mereka berada, satu-satunya cara untuk menangani cabaran semasa adalah melalui perpaduan negara-negara Islam," katanya ketika berucap pada Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) di sini, pada Rabu. 

Persidangan itu dianjurkan oleh Al-Azhar Al-Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain (SCIA) dan Majlis Hukama Muslimin. 

Ia turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena lawatan rasmi pertamanya ke negara itu. 

Anwar merupakan satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput untuk menyampaikan ucapan pada persidangan berkenaan yang diadakan di bawah naungan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa. 

Dalam pada itu, Al-Tayyeb turut menegaskan keperluan merangka pelan tindakan kolektif yang bersifat menyeluruh demi memperbaiki keadaan dunia Islam tanpa mengecualikan mana-mana pihak. 

Persidangan dua hari yang bermula Rabu itu menghimpunkan lebih 400 ulama, pemimpin agama, cendekiawan serta pakar dari seluruh dunia Islam di bawah tema “One Nation, One Shared Destiny”.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan dialog yang membina, menyatukan perspektif tentang isu-isu utama yang dihadapi negara Islam serta meningkatkan persefahaman dan perpaduan merentasi pelbagai mazhab dan aliran pemikiran. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan