AM

Kesediaan Persatuan Hokkien Jadi Duta Pelaburan Bakal Tarik Lebih Banyak Pelabur Ke Melaka

19/02/2025 09:56 PM

MELAKA, 19 Feb (Bernama) -- Kesediaan persatuan Hokkien menjadi duta pelaburan bagi membantu menarik lebih ramai pelabur ke Melaka bakal memberi impak besar dalam melebarluaskan peluang pembangunan ekonomi terutamanya sektor perindustrian di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebagai negeri yang komited terhadap pembangunan inklusif, Melaka sentiasa membuka pintu kepada peluang kerjasama dengan semua pihak termasuk masyarakat Hokkien bagi memastikan negeri terus berkembang maju.

"Saya berterima kasih kepada pimpinan Persatuan Hokkien Malaysia kerana menyuarakan kesediaan menjadi duta pelaburan kepada Melaka untuk membawa lebih banyak pelabur dari China khususnya dari wilayah Fujian. 

"Malah saya melihat kejayaan penubuhan Persekutuan Gabungan Hokkien ASEAN diusahakan oleh Tan Sri Lim Hock San (Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia) akan menjadi platform penting dalam memperluaskan jaringan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan mahupun pelaburan di rantau Asia. 

"... dan bagi Melaka, ia peluang keemasan untuk menarik lebih banyak pelabur seiring dengan kepesatan pembangunan infrastrukturnya," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Sesi Ramah Mesra Makan Tengah Hari bersama Ketua Menteri dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia serta Persatuan-Persatuan Hokkien Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini, yang turut dihadiri Lim. 

Ab Rauf berkata komuniti Hokkien juga diseru untuk menyokong segala inisitatif diluncurkan kerajaan negeri sempena Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 pada September. 

"Kita juga telah melanjutkan Tahun Melawat Melaka sehingga 2026 sejajar Tahun Melawat Malaysia pada tahun tersebut dan saya berharap delegasi serta masyarakat Hokkien menyokong perancangan kerajaan untuk menjayakannya," katanya.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya berkata  pihaknya bersedia membantu sebagai duta untuk menarik lebih ramai pelabur ke Melaka, khususnya dalam sektor perindustrian dan pelabuhan. 

"Sebagaimana yang kita tahu, Melaka bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya tetapi memiliki potensi besar dalam bidang ekonomi, pelancongan dan perindustrian. Sebagai Pengerusi Pertama Persekutuan Gabungan Hokkien ASEAN, kami sedia membantu mempromosikan negeri ini sebaiknya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan