KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang pada 27 Feb ini bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perundangan, kata Ketua Pengarahnya Dr Hazami Jahari.
Beliau berkata simposium yang akan berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP itu, menjadi platform membincangkan pelbagai aspek berhubung penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan terutama di mahkamah.
“Oleh sebab itu, kita jemput pelbagai pihak dalam bidang ini antaranya wakil jabatan kehakiman, ahli akademik dan pengamal undang-undang untuk berbincang bagaimana kita dapat mengupayakan bahasa Melayu untuk digunakan sepenuhnya dalam sektor ini.
“..dengan harapan kita akan cari penyelesaian dan cuba mengangkat dan melaksanakan penyelesaian berkenaan berdasarkan tahap-tahap yang diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual bersama Bernama Radio sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025, hari ini.
Selain itu, Hazami berkata DBP melalui Jawatankuasa Istilah Semasa, terus komited dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di pelbagai sektor, dengan memberi tumpuan khusus kepada penciptaan istilah-istilah baharu yang selaras dengan perkembangan terkini.
“Apabila timbul pertanyaan mengenai pelbagai istilah baharu yang wujud maka, jawatankuasa ini akan menentukan istilah mana yang lebih tepat misalnya istilah-istilah dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI).
“Dalam konteks pembentukan istilah, pakar-pakar kami akan berbincang dengan pakar dalam bidang-bidang berkenaan. Kami akan bersidang dua kali sebulan untuk melahirkan istilah-istilah yang ditanyakan pihak luar atau apabila ada bidang baharu muncul dalam negara,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 hari ini, beliau berkata ia merupakan peringatan penting kepada masyarakat agar sentiasa menghargai dan berusaha memelihara penggunaan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian.
Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang diadakan pada 21 Feb setiap tahun bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa di seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial