AM

MAIM Peruntuk RM11.77 Juta Untuk Program, Bantuan Ramadan

21/02/2025 08:19 PM

MELAKA, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukan RM11.77 juta bagi melaksanakan pelbagai program keagamaan dan bantuan sempena Ramadan tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata antaranya program Taqarrub Ramadan dengan peruntukan RM563,000 yang melibatkan 800 masjid dan surau terpilih.

"MAIM turut menyalurkan RM1.63 juta bagi program Ihya Ramadan dengan setiap masjid menerima RM3,000 manakala surau RM1,200 untuk melaksanakan apa sahaja aktiviti berkaitan atau membayar bil utiliti.

"Peruntukan lain termasuk sumbangan kepada asnaf dan fakir serta mualaf, selain turut diberikan kepada jawatankuasa masjid dan institusi tahfiz," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pasir Putih Bachang di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rahmad berkata program keagamaan dan pemberian sumbangan itu bagi memakmurkan bulan Ramadan dan mengimarahkan lagi masjid dan surau. 

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri telah meluluskan projek pembinaan SRA JAIM dan Tadika JAIM Pasir Putih Bachang itu dalam Bajet Pembangunan Negeri Melaka 2024, melibatkan kos RM6.5 juta.

Beliau berkata bidang pendidikan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan serta berakhlak.

"Projek ini dijadual bermula April dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dengan melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat, meliputi bilik darjah selain pelbagai kemudahan seperti bilik mesyuarat, surau, kantin dan tempat letak kereta," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan