AM

Bantuan STR Dan Sara Bantu Bekas Usahawan Urus Rawatan Isteri, Anak

22/02/2025 12:15 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Feb (Bernama) -- Mohd Khairul Aswal Ngah pernah menjalani kehidupan selesa hasil titik peluhnya sebagai usahawan pembekalan peralatan pejabat, namun ujian datang tanpa diduga, meragut segala yang dimiliki dan menguji ketabahannya sekeluarga. 

Pada 2020, anak bongsu, Sulaiman Akif yang ketika itu baru berusia sebulan disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik. Pada tahun sama, penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tamparan hebat buat keluarga ini.

Keadaan itu menyebabkan kehidupan mereka terumbang-ambing ekoran perniagaannya dan isteri Rohidayah Mohamad, 45, yang mengusahakan perkhidmatan katering dan kuih-muih terpaksa gulung tikar.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila isterinya turut disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pada Julai tahun lepas, memerlukan rawatan dialisis secara berkala. 

Kini, hampir sepenuh masa Mohd Khairul Aswal dihabiskan untuk menjaga keluarga, sementara dia hanya mampu bekerja sebagai tukang membaiki peralatan elektrik dari rumah ke rumah dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan. 

 Tanpa pendapatan tetap, Mohd Khairul Aswal terpaksa membuat keputusan sukar, iaitu menjual kenderaan dan peralatan perniagaan mereka, satu demi satu, demi membiayai rawatan anak dan isterinya. 

“Kos rawatan isteri kira-kira RM600 sebulan manakala untuk Sulaiman Akif pula hampir RM800 termasuk ubat, susu dan lampin. Saya juga perlu memikirkan perbelanjaan persekolahan anak sulung Muhammad Aniq Haikal (12 tahun),” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Manir dekat sini.

Kini, motosikal menjadi satu-satunya pengangkutan mereka untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), meredah hujan dan panas tanpa pilihan, walaupun setiap perjalanan dipenuhi kebimbangan isteri atau anaknya tiba-tiba jatuh sakit di tengah jalan. 

“Isteri perlu ke hospital sekitar tiga kali sebulan dan anak pula dua kali sebulan. Jika terlalu terdesak saya guna perkhidmatan e-hailing, tetapi tidak boleh selalu buat begitu kerana tidak mampu,” katanya sayu. 

Di sebalik cabaran yang dihadapi, Mohd Khairul Aswal bersyukur kerana beroleh pelbagai bantuan daripada kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diterima sejak tahun lepas, Bantuan Awal Persekolahan bagi Muhammad Aniq Haikal dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan mula diterima tahun ini.

Katanya, STR yang diterima secara berfasa termasuk sebanyak RM500 pada 21 Jan lepas digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan anak dan isterinya serta membeli barangan dapur.

Begitu juga dengan bantuan SARA yang diperolehnya bermula tahun ini dapat meringankan bebannya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup, apatah lagi bantuan itu ditingkatkan kepada RM2,100 pada tahun ini berbanding RM1,200 sebelumnya. 

Mohd Khairul Aswal turut berkongsi cabaran menjaga keperluan pemakanan Sulaiman Akif yang perlu mengambil ubat dengan kesan sampingan meningkatkan selera makan. 

“Kadangkala Sulaiman meminta makanan seawal 3 pagi. Jadi, bekalan makanan memang tidak boleh putus di rumah ini. Sekurang-kurangnya perlu sentiasa ada nasi atau roti. Dengan bantuan STR dan SARA insya-Allah stok makanan tidak akan habis,” katanya tersenyum. 

BAP pula dianggap rezeki buat Muhammad Aniq Haikal bagi menampung perbelanjaan barangan persekolahan yang juga semakin meningkat kini.

“Muhammad Aniq Haikal pula minat dalam bidang sukan terutama bola sepak dan olahraga. Jadi, setiap kali masuk duit BAP saya akan membelikan dia dua helai seluar trek sukan untuk kegunaan sepanjang tahun, selain pakaian seragam sekolah dan buku,” katanya yang menganggap segala bantuan yang diterima sebagai sinar dan harapan baharu untuk keluarganya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan