Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri
TAXILA (Pakistan), 24 Feb (Bernama) -- Program Pertukaran Media/Wartawan ASEAN-Pakistan menjadi platform penting untuk wartawan ASEAN meningkatkan kemahiran profesional, pemahaman mendalam terhadap budaya serta memperkukuh kerjasama serantau.
Menerusi sesi latihan, perbincangan dan pengalaman sepanjang program disertai, peserta telah memperoleh pemahaman lebih mendalam berkaitan landskap media, dinamik sosiopolitik serta pelbagai isu di Pakistan, sekali gus membantu mereka menghasilkan laporan yang lebih seimbang dan tepat.
Paling penting, program itu juga memberi peluang kepada pengamal media melihat Pakistan secara lebih menyeluruh, berbeza daripada gambaran stereotaip yang sering dipaparkan dalam pelaporan berita antarabangsa.
Penerbit Rancangan Unit Program Bahasa Melayu Bernama TV Riyadh Zudhi Loksin, 34, berkata sesi latihan dan pertukaran pengetahuan sepanjang program berkenaan amat penting dalam membentuk profesional media.
"Sesi latihan dihadiri kami sangat bermanfaat, meliputi pelbagai topik penting khususnya dalam memahami landskap media di ASEAN dan Pakistan.
"Melalui hubungan profesional yang lebih erat dan komitmen terhadap kewartawanan beretika, Program Pertukaran Media/Wartawan ASEAN-Pakistan mampu memberikan impak yang berpanjangan dengan memupuk kerjasama yang lebih erat serta menegakkan integriti dalam pelaporan serantau," katanya kepada Bernama.
Ketua Operasi Berita dan Pentadbiran Mindanao Media Hub, People's Television Network Inc Vinafel Araneta Pilapil, 38, menyifatkan program pertukaran media sebagai inisiatif penting dalam memperkukuh hubungan antara ASEAN dan Pakistan.
“Selain latihan, saya banyak belajar tentang pelbagai budaya dan amalan kewartawanan di negara lain. Pengalaman ini amat bernilai dalam pertukaran ilmu dan pandangan.
“Sebelum datang ke sini (menyertai program pertukaran media) saya telah dengar banyak perkara tentang Pakistan, namun saya sedar tidak semua berita yang kita baca atau tonton itu benar-benar sahih," katanya.
Wartawan dari Filipina, Daniel Amos Manalastas, 31, turut menekankan kepentingan untuk memerangi maklumat palsu.
"Terdapat banyak laporan negatif mengenai Pakistan, namun selepas tiba di sini, saya dapati rakyatnya sangat mesra, peramah dan menghormati tetamu serta sangat berbeza daripada apa yang digambarkan oleh media antarabangsa.
“Sebagai wartawan, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan fakta dengan tepat dan membetulkan salah faham. Peluang bertemu dengan wartawan dari negara lain membantu saya memahami cara berita dikumpulkan dan dilaporkan dengan cara berbeza,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Komunikasi Massa Thailand Nattapon Samuhaseneeto, 31, menekankan betapa pentingnya kerjasama media antara ASEAN dan Pakistan.
Beliau berkata Thailand telah menjalin hubungan dengan media ASEAN dan Pakistan, meletakkan asas untuk pertukaran maklumat pada masa hadapan.
“Sebagai negara jiran dengan hubungan yang erat, ramai rakyat Thailand yang bekerja dan tinggal di Malaysia, sama seperti rakyat Malaysia dan negara ASEAN lain yang bekerja di Thailand.
"Setiap negara mempunyai maklumat yang perlu dikongsi dengan rakyatnya, seperti perkara yang mereka ingin tahu, perlu tahu, dan mesti tahu. Pertukaran maklumat ini akan menjadi lebih berkesan selepas penubuhan rangkaian ini," katanya.
Nattapon berkata satu daripada perkara yang dapat dimanfaatkan daripada program itu ialah peluang untuk mempelajari budaya Pakistan, pemacu ekonomi, serta pelbagai sektor seperti industri, pelancongan, perdagangan, dan pelaburan.
Program Pertukaran Media/Wartawan ASEAN-Pakistan yang diadakan dari 17 hingga 22 Feb itu dianjurkan Kementerian Penerangan dan Penyiaran Pakistan dengan sokongan Sekretariat ASEAN.
Program itu menghimpunkan 23 wartawan dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste untuk memupuk kerjasama media serta memperkukuh hubungan serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial